Debat Tony Pua - Arul Kanda Tanpa Penonton 6 November "Live"?


TARIKH 6 November dicadangkan pihak Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk debat secara langsung antara Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia  Datuk Seri Salleh Said Keruak dan debat itu bakal dikendalikan oleh seorang moderator dari RTM secara langsung dari Studio 1, Angkasapuri di Kuala Lumpur.

“Debat itu akan disiarkan secara langsung selepas ia dapat permintaan banyak pihak tetapi ia tidak dibuat di hadapan penonton kerana kita tidak mahu ia cetuskan emosi berdasarkan fahaman politik yang berbeza,” katanya.

“Saya cadangkan dari 9 malam hingga 10 malam,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ke-9 di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Pada kelaziman, waktu perdana tersebut diisi dengan program Landskap, sebuah rancangan bual bicara pelbagai isu semasa secara langsung bersama-sama perantara terkenal, Sayed Munawar dan Shuhaimi Mohamed.

Menurut Salleh Said, kedua-dua pendebat berkenaan iaitu Arul Kanda dan Tony Pua akan dihubungi oleh pihak RTM untuk mendapatkan persetujuan rasmi mereka untuk hadir pada tarikh yang dicadangkan tersebut.

Jelas beliau, ketiadaan penonton dalam perbahasan ‘live’ itu kerana pihak RTM mahu program serius tersebut berada dalam suasana persekitaran terkawal yang cukup kondusif tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

Pada Isnin, Salleh Said menyatakan, pihaknya telah menghubungi Arul Kanda bagi memaklumkan bahawa RTM akan menyediakan studio bagi siaran secara langsung itu, dan akan turut menghubungi Pua dalam masa terdekat.

“Pada kita elok diteruskan debat ini agar masyarakat Malaysia boleh tahu keadaan 1MDB yang sebenar. RTM akan bincang dengan kedua-dua pihak untuk mengetahui bila mereka mahu adakan debat itu. Kita tidak ada halangan.

“Pada saya lebih cepat lebih baik. Tidak boleh ‘hanging‘ (tangguh) perkara tersebut kerana rakyat ternanti-nanti untuk mendengar perbahasan soal 1MDB ini,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen pada Isnin.

Arul Kanda pada Sabtu minggu lalu berkata, beliau sedia bersemuka ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tersebut secara langsung di televisyen berhubung isu syarikat pelaburan negara itu, tanpa apa-apa syarat.

Ini sebagai menyahut cabaran pemimpin DAP Selangor itu melalui laman blognya agar mereka mengambil bahagian dalam rancangan televisyen secara langsung, dengan Tony sahaja yang boleh mengemukakan soalan.

Bagaimanapun, Salleh Said berkata kedua-dua pihak adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan iaitu hanya maklumat umum sahaja boleh disampaikan dan bukannya maklumat yang dibincangkan di dalam PAC.

“Kedua-dua pihak terlibat akan diberi peluang saksama untuk memberi hujah masing-masing dalam sesi debat selama sejam tersebut dan pada saya itu sebenarnya adalah format bahas yang terbaik,” kata beliau.

Ditanya mengenai format sesi debat itu, beliauberkata kedua-dua pihak perlu sependapat mencari suatu format yang sesuai dan memaklumkan kepada RTM mengenai perkara itu bagi memudahkan urusan siaran langsung.

“Dalam soal debat ini, ia bukan suatu soal jawab, bukan sekadar satu pihak soal, satu pihak jawab. Ia harus dua pihak itu berhujah ke atas penerangan masing-masing yang ada kaitan dengan 1MDB,” kata Salleh Said. – Agensi