Defisit Bajet Kedah 2016 Meningkat RM72.5 Juta Berbanding 2015

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika membentangkan Bajet Kedah 2016 di Dewan Undangan Negeri Kedah, di sini pagi tadi.
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam pembentangan Bajet Kedah 2016 memperuntukan sebanyak RM794,107,227 untuk perbelanjaan mengurus manakala RM261,036,865 diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan negeri.

Membentangkan belanjawan tahunan di Mesyuarat Kedua Penggal Ke-3 Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, Mukhriz turut menjelaskan tentang justifikasi Bajet Kedah 2016 yang menyaksikan defisit bajet negeri itu meningkat sebanyak RM72,482,482 berbanding RM68,460,960 bagi tahun lalu.

Katanya, bajet yang beliau bentang di Sidang DUN kali ke -13 itu adalah bersifat realistik berdasarkan keupayaan kerajaan negeri bagi menjana hasil dan keperluan perbelanjaan yang sebenar.

Kata beliau, peningkatan hasil yang telah dikenalpasti pihak kerajaan negeri adalah daripada caj perparitan serta bayaran premium tanah dibawah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan juga sektor swasta.

Selain itu, Menteri Besar Kedah itu juga menjangkakan hasil negeri akan meningkat ekoran beberapa projek yang bakal dilaksana seperti projek perumahan, pembangunan bercampur dan tapak perindustrian baru yang akan dibangunkan di seluruh negeri itu.

Menurut Mukhriz, cadangan daripada jumlah perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM184,536,845 bakal diperuntukkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan negeri yang telah dirancang sebelum ini.

Manakala RM92,730,791 lagi katanya bakal diperuntukkan untuk projek pembangunan bekalan air yang menggunakan peruntukan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan.

Mukhriz turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pemberian tahunan berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan kesejahteraan Hidup (TAHAP) berjumlah RM2.4408 bilion.

Pemberian tersebut katanya akan digunakan bagi melaksana pelbagai projek pembangunan di negeri Kedah seperti pembinaan jalan dan jambatan, pertanian, pengairan dan saliran, pembinaan bangunan masjid surau, sekolah agama serta peningkatan infrastruktur pihak berkuasa tempatan. -Kedahnews.com