TELUK INTAN – Disebabkan terlalu obses, seorang lelaki berusia 21
tahun sanggup melarikan seorang gadis ke rumah neneknya di Ipoh.
Remaja terbabit juga dikatakan mengugut akan menikam mangsa dengan
sebilah pisau sekiranya gadis itu enggan mengikut kehendaknya.
Mangsa, Syarifah Nur Syahidah Syed Anwar, 15, dilaporkan hilang oleh
ibu bapanya pada Sabtu lalu selepas dia tidak pulang ke kedai bapanya
pada jam 11 malam.
Ibu bapa mangsa kemudiannya menyebarkan gambar Syarifah Nur Syahidah
di laman sosial bagi mengesan anaknya itu sebelum akhirnya gadis itu
dikembalikan ke pangkuan keluarga, petang kelmarin.
Syarifah Nur Syahidah berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, dia meminta
izin ke kedai serbaneka berhampiran kedai bapanya untuk membeli kad
tambah nilai prabayar tetapi malangnya mesin menjual kad tersebut rosak.
“Waktu itu ada kawan sekolah telefon mahu ambil buku yang dipinjamnya berhampiran kedai tersebut.
“Lepas ambil buku, saya nampak lelaki itu ada dekat sini dan dia
terus datang ke arah saya sambil acukan sebilah pisau,” katanya.
Menurutnya, lelaki berkenaan memaksanya menaiki motosikal yang
ditunggang dan mengugut mahu menikamnya sekiranya tidak mengikut arahan.
“Kerana takut, saya pun ikut naik motor lelaki itu. Dia terus bawa saya ke rumah neneknya di Ipoh dan dikurung di sana.
“Hari Isnin saya ikut dia keluar beli kad tambah nilai dan waktu itu
saya cuba larikan diri tapi berjaya ditangkap serta dibawa semula ke
rumah neneknya,” katanya.
Syarifah Nur Syahidah berkata, dia mengenali lelaki berkenaan sejak enam bulan lalu menerusi aplikasi Wechat.
“Saya anggapnya sebagai kawan saja dan berhubung melalui Wechat sama macam rakan-rakan lain,” katanya.
Sementara itu, bapa Syarifah Nur Syahidah, Syed Anwar S. A. Jhan, 45,
berkata, dia dan isterinya Faridah Harun, 38, bersyukur kerana anak
perempuannya itu ditemui selamat selepas hampir tiga hari hilang.
“Waktu malam anak saya hilang itu, dia ada hantar SMS ‘Abah tolong’.
“Hati ayah mana yang tak risau anak hilang. Semalaman saya cari dia
yang penat sebab tolong saya berniaga di kedai. Nur Syahidah juga tak
jamah sebarang makanan lagi ketika itu,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini anaknya itu pernah mengikut adik perempuan
remaja tersebut menghadiri satu majlis perkahwinan di Ipoh dan bermalam
di sana.
“Saya tak syak apa-apa sebab yang datang minta kebenaran untuk bawa anak saya ke majlis itu adalah perempuan.
“Semasa di balai polis, lelaki itu cakap dia terlalu sayangkan anak saya, tapi anak saya cuma anggap dia kawan biasa,” katanya.
Syed Anwar berkata, dia bersyukur kerana sepanjang anaknya dikurung,
remaja itu tidak diapa-apakan selain makan minumnya turut dijaga.
Sumber: Sinar Harian