Dua Suspek Utama Kes Bunuh Di Tapah Dibawa Ke Lokasi Bunuh, Bakar

POLIS hari ini membawa dua suspek utama pembunuhan empat individu ke tempat kejadian di sebuah bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di sini.
TAPAH – Polis hari ini membawa dua suspek utama pembunuhan empat individu ke tempat kejadian di sebuah bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di sini.

Dua suspek itu, pemilik bengkel dan anak lelakinya dibawa dengan sebuah van dan diiringi dengan sebuah kereta polis kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Tinjauan di bengkel itu kelihatan sebuah jengkaut memasuki kawasan bengkel berkenaan dipercayai bagi mencari mangsa-mangsa yang dibunuh dengan kejam itu.

Turut kelihatan ialah Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia di sekitar kawasan bengkel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliaw tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari dan keluar dari kawasan terbabit dalam 30 minit kemudian.

Bagaimanapun, Som Sak enggan mengulas lanjut mengenai kes terbabit ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan terkini kes itu.

Sama seperti semalam, perkarangan bengkel itu dipenuhi dengan orang ramai yang datang sejak pukul 9 pagi bagi melihat sendiri lokasi kejadian kes yang mendapat liputan meluas itu.

Seorang daripada mereka yang hanya ingin dikenali sebagai Azman, 44, berkata beliau berada di sini sejak semalam bagi mengikuti perkembangan kes tersebut dan berharap agar kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

Azman yang menetap di Tapah lebih 10 tahun berkata beliau rasa takut terhadap apa yang berlaku dan sering menasihati anggota keluarganya supaya lebih berhati-hati.

Pada 26 Okt lepas, polis menahan sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka dipercayai terbabit dalam kes bunuh sekurang-kurangnya empat individu di sekitar daerah Tapah, di sini.

Kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pahang, Tapah pada 1.30 tengah hari, susulan laporan kehilangan mangsa lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat sini pada 25 Ogos lepas. – BERNAMA