EKSKLUSIF: Lelaki Mengaku Penganut Syi'ah, Setuju Arnab Itu Serangga

Bendera Syiah di laman Facebooknya...
ALOR SETAR - Seorang pengguna Facebook yang hanya dikenali sebagai Azuhar Ahmad secara terang-terangan mengaku bahawa dirinya merupakan seorang penganut fahaman Syi'ah dan mencabar ahli sunni untuk menafikan hujahnya.

Menulis komen di sebuah pautan di page Facebook rasmi Kedahnews.com, Azuhar mendakwa kenyataan seorang ulama Syi'ah yang menggolongkan arnab sebagai kumpulan serangga adalah benar.

"Ya saya syiah... sekarang sunni yang angkuh silakan jawab hujjah saya.

"Terjemahan kata Al Hasyaraat memang adalah serangga tetapi kata Al Hasyaraat pada dasarnya bermakna umum mencakup hewan bumi selain serangga seperti landak, cicak bahkan kelinici [arnab]", hujahnya di ruangan komen page kami.


Azuhar di laman Facebooknya bukanlah calang-calang individu dan dia merupakan seorang ketua jurutera di sebuah syarikat swasta di ibu negara, serta berasal dari Terengganu.

Pada pandangan kami, Al-Hasyaraat memang benar merupakan istilah yang merujuk kepada haiwan yang merangkak dari sudut bahasa Arab, namun tidak semua yang merangkak dan melata di bumi boleh diistilahkan sebagai serangga.


Sebagai contoh, antara haiwan yang merangkak di bumi adalah seperti biawak, buaya, landak, mengkarung dan sebagainya, namun haiwan-haiwan berkenaan tidak digolongkan sebagai kumpulan serangga yang dikatakan ketua jurutera itu.

Secara lahiriahnya bentuk arnab pula sama sekali berlainan dari karektor rupa bentuk jenis keluarga serangga, langsung tidak menyerupai lipas, kerengga, semut, labah-labah atau yang seumpama dengannya.

Seluruh dunia sebelum ini jelas bersetuju untuk mengatakan bahawa arnab merupakan sejenis haiwan mamalia yang tergolong dalam keluarga Leporidae yang tergolong dalam golongan Lagomorpha.

Malah penganut Syiah tegar itu juga menuduh bahawa guru-guru kepada Imam Hanafi dan Imam Maliki juga adalah merupakan imam Syi'ah.

"Guru imam hanafi dan maliki 2 imam paling awal ahli sunnah pun adalah imam syiah...", katanya lagi.


Menurut penjelasan seorang aktivis anti-Syi'ah dari Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan, 12 imam yang dikatakan 'imam Syiah' itu sebenarnya tidak berfahaman Syi'ah, malah mereka sebenarnya berfahaman Sunni.

"Imam Jaafar misalnya merupakan seorang yang berfahaman Sunni, tapi puak Syi'ah sengaja guna nama beliau dan sesuka hati melabel beliau sebagai imam Syi'ah, padahal tidak pun," jelas aktivis berkenaan kepada Kedahnews.com.

Mungkin bagi menghalalkan amalan nikah muta'ah yang diamalkan fahaman songsang yang dianutinya, Azuhar turut menyindir ramai pengikut fahaman Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang dikatakan berzina, mengandung luar nikah dan membuang bayi.

"Sunni malaysia berzina puluhan ribu mengandung anak luar nikah dan membuang bayi dalam tong sampah serta longkang itu ajaran ahli sunnah ka.?" sindirnya.


Setahu kami, mana-mana agama pun termasuk Islam Sunni melarang keras perbuatan zina dan membuang bayi di mana perlakuan tersebut dihukum sebagai berdosa besar, haram dan dikecam keras.

Namun, untuk menghalalkan nikah muta'ah seperti yang diamalkan Syi'ah pada aktivis Syi'ah yang kami temui menegaskan ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah manusia menjaga keturunan sebagaimana yang dianjurkan Islam.

"Fitrah manusia untuk bernikah secara sah menurut Islam sebenar antara tujuannya adalah demi menjaga keturunan yang diiktiraf.

"Cuba bayangkan jika seorang gadis dinikahi secara muta'ah selama sehari dan diceraikan Pak Atan, kemudian dua hari kemudian dinikahi secara mutaah pula oleh beberapa lelaki lain dalam tempoh sebulan itu.

"Sekiranya gadis berkenaan mengandung, anak siapakah janin yang dikandung? Bayi siapakah dia? Siapakah bapa yang bertanggungjawab bagi bayi berkenaan? Jika benarlah dapat dikenalpasti bapa sebenar bayi itu, bagaimana jika dia tidak mengaku dan enggan bertanggungjawab?", kata sumber berkenaan.

Selain itu, Syi'ah juga didakwa menghalalkan isteri seseorang itu dinikahi secara muta'ah sekiranya lelaki berkenaan tidak mengetahui wanita tersebut merupakan isteri orang lain berdasarkan satu fatwa dari ulama Syi'ah.

Bagaimanapun, adalah menjadi dasar di Malaysia yang memberikan hak kepada mana-mana penganut agama lain, termasuk Syi'ah, untuk mengamalkan fahaman mereka dengan syarat tidak menyebarkan agama mereka, khususnya kepada umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti penyebaran Syi'ah di Malaysia.

"Negara ini mengamalkan Sunnah Wal Jamaah, tindakan tegas akan diambil bagi sesiapa yang mengembangkan ajaran ini," kata beliau pada 20 Ogos 2013, dalam satu sidang media di satu majlis di ibu negara.

Pada 26 Ogos 1996, muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menegaskan bahawa ajaran Syi'ah menyeleweng dari segi akidah, syariah dan akhlak, kecuali bagi fahaman dari golongan Zaidiah dan Ja’fariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.

Namun dilaporkan pada 15 Januari 1997, fatwa berkenaan telah dimansuhkan dan fahaman dari golongan Syi'ah Zaidiah atau Ja’fariah tidak lagi diterima, sekaligus menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sahaja. -Abu Bakar Al-Mussoddiq/Kedahnews.com