Erdogan Menang Di Turki, Mohd Najib Ucap Tahniah

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan atas kemenangan dalam pilihan raya parlimen Turki.

"Tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan kerana memenangi pilihan raya Turki.

"Saya berharap dapat terus memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Turki," kata Najib menerusi catatan terbaharu dalam Twitter dan Facebook beliau.

Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang telah lama menjadi parti dominan disebut-sebut untuk mengekalkan majoriti di Parlimen pada Ahad.

Memetik mStar, parti yang diasaskan oleh Erdogan memperoleh kira-kira 51 peratus undi, dengan lebih 80 peratus daripada undi dikira.

Ia membolehkan parti itu menguasai 325 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 550 kerusi, mengatasi tiga parti pencabar utama, dan mudah meraih majoriti untuk membentuk kerajaan.-Kedahnews.com