Fahmi Zainol |
KUALA LUMPUR – Mahasiswa propembangkang, Fahmi Zainol dilantik sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Fahmi dilantik ke jawatan parti itu di atas tindakannya menganjurkan program Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Malaya (UM) tahun lalu.
“Fahmi dilantik sebagai Pengerusi Biro Mahasiswa PKR dan Adam Fistival Wilfrid dilantik sebagai Koordinator program myChangeMakers.
“MyChangeMakers mengumpul tenaga muda dalam bertugas di lapangan bagi membantu rakyat terbanyak menerusi kerja komuniti dan kesedaran perubahan menerusi pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nurul Izzah berkata, kedua-dua mereka diberi tugasan untuk membangkitkan isu-isu negara ke atas golongan muda termasuk ekonomi, pendapatan, penguatkuasaan undang-undang dan penyalahgunaan kuasa pemimpin negara.
“Kami yakin, penyertaan Fahmi dan Adam bakal menjadi pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli isu-isu politik dan isu-isu,” katanya. – Kedahnews.com