Preeti Kumari Rai |
New Delhi – Seorang remaja berusia 17 tahun sanggup mengambil risiko mati atau lumpuh sepenuhnya semata-mata mahu menjalani pembedahan bagi memperbaiki tulang belakangnya yang bengkok teruk.
Preeti Kumari Rai, 17, didiagnos dengan skoliosis kongenital pada usia lapan tahun.
Lebih 10 doktor dari pelbagai hospital di New Delhi memberitahunya tiada apa boleh dilakukan, namun kini gadis itu menemui seorang pakar bedah yang akan cuba membaiki keadaannya.
Pembedahan itu berisiko besar kerana Preeti mungkin maut atau berdepan lumpuh sepenuhnya. Namun dia berazam menjalaninya kerana mahu hidup normal dan berkhidmat dengan kerajaan satu hari nanti.
“Saya amat teruja dan tidak sabar menjalani pembedahan ini.
“Saya tidak takut langsung. Saya cuma mahu peluang untuk sembuh. Saya beritahu doktor, saya sanggup menanggung risiko. Tidak mengapa jika lumpuh.
“Saya tidak takut, tetapi sebelum ini tiada doktor yang cukup berani. Kini saya sudah menemuinya,” katanya.
Preeti, dari Faridabad, hidup normal sehingga lapan tahun apabila belakangnya mula bonjol manakala tulang belakang semakin membengkok.
“Ketika itu kami tidak tahu apa yang tidak kena. Semakin hari semakin sukar dan badan mula menyenget selain tidak dapat duduk tegak. Kemudian bahu saya mula membenjol,” katanya.
Ayahnya Dilip Rai, 45, dan ibu Meena Devi, 40, sebelum itu hilang empat anak lelaki dan penyakit Preeti itu merisaukan mereka.
Dilip yang juga tukang kimpal berkata: “Kami membawanya berjumpa doktor, tetapi ramai yang memberi diagnosis silap serta memaklumkan kami tiada apa boleh dilakukan.”
Meena berkata, mereka melawat pelbagai doktor, tetapi semuanya memberi jawapan sama.
“Kami harapkan sekurang-kurangnya sedikit harapan, namun tidak seorang pun memberi kata-kata semangat. Kata mereka, walaupun kami mempunyai wang sekalipun tiada apa boleh dilakukan. Memang mengecewakan,” katanya.
Preeti yakin dia akan sembuh dan kembali hidup normal satu hari nanti.
“Saya masih ingat bagaimana rasanya berlari dan duduk tegak. Saya mahu menjadi seperti itu semula.
“Saya yakin ia akan terjadi,” katanya. – Agensi