Gani Patail Enggan Dedah Rahsia Sekarang Untuk Dapat Perhatian Umum Kelak

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berjanji akan mendedahkan rahsia sebenar beliau disingkirkan daripada jawatannya itu apabila tiba masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Kata Abdul Gani, beliau memerlukan waktu yang sesuai untuk mendedahkan punca lantikan beliau sebagai peguam negara ditamatkan kerana sekiranya hal itu didedahkan sekarang, beliau tidak menjadi tumpuan masyarakat kelak.

"Saya akan menyatakan (mengenai penyingkiran sebagai Peguam Negara) pada masa akan datang. Tidak hari ini.

"Sekiranya saya mendedahkan sekarang, saya tidak akan menjadi tarikan anda pada masa akan datang,” kata Abdul Gani seperti yang dipetik di Free Malaysian Today.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas mengenai isu penyingkirannya sebagai Peguam Negara pada 27 Julai lalu dengan alasan kesihatannya yang kurang mengizinkan.

Abdul Gani ditemui di forum bertajuk ‘SOSMA – Musang Berbulu Ayam?’ selaku salah seorang panel forum yang membincangkan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), di Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Ini adalah kemunculan pertama Abdul Gani setelah beliau ditamatkan perkhidmatan lebih awal atas faktor kesihatan pada Julai lalu. -Kedahnews.com