Raja Ilya |
Rasa tidak sedap hari, meracau-racau dan hampir dirasuk sehingga tidak dapat melelapkan mata gara-gara terlalu takut adalah antara pengalaman yang dikongsi pelakon, Raja Ilya, ketika menjalani penggambaran filem seram berjudul "Jelmaan", di Indonesia.
Mendedahkan simptom terkena gangguan makhluk halus ketika menjalani penggambaran filem di Yogjakarta pada November tahun lalu, dia turut menjelaskan terpaksa mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk memulihkan "semangat"nya yang hilang.
"Hari kedua ketika penggambaran di Yogjakarta, Indonesia saya sudah dapat rasa lain macam ketika berada di bilik hotel.
"Saya tidak dapat berehat sepenuhnya sehinggalah saya meracau dan hampir dirasuk sehingga tidak boleh melelapkan mata kerana ketakutan.
"Malah saya sendiri terpaksa menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional untuk mengembalikan semula semangat saya agar dapat meneruskan penggambaran," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan, baru-baru ini.
Filem yang sudah mula boleh ditonton di saluran Astro First Eksklusif bermula 31 Oktober lalu ini merupakan filem seram pertama lakonannya.
Filem Jelmaan |
Jelas Raja Ilya, lokasi penggambaran yang dilakukan untuk filem itu sememangnya agak 'keras' sehingga terpaksa mendapatkan khidmat pengamal agama bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
"Kami menjalani penggambaran selama sepuluh hari di tempat-tempat yang memang di tanda sebagai tempat ‘keras’ seperti di Borobudur, Parangtritis, Gunung Merapi dan Candi Prambanan.
Berkongsi wataknya, Ilya memberitahu, ia benar-benar memberikan cabaran untuknya kerana terpaksa menjerit setiap masa.
“Ada satu hari penggambaran itu, saya sudah tiada suara lagi. Watak saya dalam filem ini juga sangat berbeza daripada lakonan saya sebelum ini. Pengarah sentiasa mahukan saya melakukan aksi ‘hyper’.
“Oleh itu, mungkin penonton yang menyaksikan filem ini, akan melihat, saya sering cemas apabila anak hilang dan sentiasa menjerit serta menangis,” katanya lagi. -Kedahnews.com