Gaun Terpakai "Dorothy" Dijual Dengan Harga RM7 Juta

Gaun Dorothy dalam filem ‘The Wizard of Oz’
New York - Gaun yang dipakai Dorothy, karakter yang dilakonkan oleh Judy Garland dalam filem ‘The Wizard of Oz’ dijual dengan harga AS$1.56 juta (RM7 juta) kelmarin, kata syarikat lelong Bonhams.

Gaun itu adalah yang paling mencuri tumpuan dalam acara lelongan hampir 400 barangan memorabilia Hollywood yang dianjurkan syarikat lelong itu dan Turner Classic Movies dengan jumlah jualan keseluruhan melebihi AS$4 juta (RM17 juta).

Menurut Bonhams, gaun ‘Dorothy’ itu dijual kepada seorang daripada tiga pembida melalui telefon. Ia sekali gus memecahkan rekod prajualan yang dianggarkan antara AS$800,000 (RM3.4 juta) dan AS$1.2 juta (RM5.1 juta).

Ia satu daripada dua kostum lengkap Dorothy yang masih ada, kata pengarah bahagian memorabilia hiburan Bonham, Catherine Williamson.

“Gaun itu dianggap ikon klasik Hollywood yang sebenar.”

Judy Garland dalam filem ‘The Wizard of Oz’
Judy adalah antara pelakon Zaman Kegemilangan Hollywod yang disayangi.

Dia membintangi filem ‘The Wizard of Oz’ yang ditayangkan pada 1939 ketika berusia belasan tahun.

Filem itu memenangi dua anugerah Oscar untuk lagu dan muzik terbaik. Ia kekal menjadi filem klasik keluarga yang paling disukai selama lebih 70 tahun.

Barangan kedua paling mahal dijual ialah pakaian yang dipakai oleh Marilyn Monroe dalam filem ‘Gentlemen Prefer Blondes,’ yang dijual dengan harga AS$425,000 (RM1.8 juta). - AFP