Gejala Dadah Semakin Menular Ke Pedalaman Sarawak

Gambar Hiasan
KUCHING – Pekan Belaga, kira-kira 150 km dari bandar minyak Bintulu sedang berhadapan dengan masalah penyalahgunaan dadah yang memerlukan pihak berkuasa menggiatkan tindakan-tindakan penguatkuasaan di pekan pedalaman itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang berkata masalah penyalahgunaan dadah perlu dibendung dengan segera agar ia tidak menular lebih teruk di kawasan-kawasan pedalaman seperti mana yang berlaku di daerah Belaga ketika ini.

“Pihak berkuasa perlu menggiatkan tugas-tugas penguatkuasaan dalam usaha menggempur gejala penyalahgunaan dadah, dan melancarkan operasi membanteras pengedar serta penagih dadah di kawasan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak, di sini hari ini.

Beliau dipetik berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Connecting The Unconnected di Uma Sambop, Belaga, anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak, semalam.

Dalam ucapannya Liwan yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak turut menyentuh masalah berkaitan perhubungan telefon serta internet di Sarawak dan memohon agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan usaha membekalkan kemudahan itu terutama di kawasan pedalaman negeri.

Majlis itu menyaksikan rombongan 47 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Putrajaya dan Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Datuk Jamilah Mohd Shahid membuat lawatan dan melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kawasan pedalaman itu. – BERNAMA