JAKARTA – Indonesia buat julung kali dalam sejarahnya mencipta rekod tersendiri apabila republik terbesar di rantau Asia tenggara itu dilaporkan berjaya langsung tidak mengimport apa-apa beras luar negara sepanjang 2015.
Perkara amat mengejutkan itu didedahkan sendiri oleh Menteri Pertanian Indonesia, Andi Amran Sulaiman dan dipetik agensi berita rasmi tempatan, Antara dalam satu acara kebangsaan di wilayah Jawa Tengah pada Jumaat.
Ketika mengesahkan berita gembira tersebut, beliau menjelaskan, pemerintah Indonesia tanpa disedari sesiapa tidak melakukan import beras ‘berkat’ peningkatan pengeluaran komoditi makanan dilakukan pihak berkuasa.
“Tahun sebelumnya Indonesia masih import beras asing sekitar 800,000 tan, tetapi sejak setahun pemerintahan Joko Widodo sebagai presiden, sebenarnya sudah tidak ada lagi kemasukan beras dari luar,” terang Andi Amran lagi.
Beliau menyatakan demikian selepas berucap merasmikan pembukaan acara Rembug Paripurna Kelompok Kontak Tani Negara Andalan Ekspo 2015 di bandar Boyolali, kira-kira 526 kilometer dari tenggara ibu kota Indonesia.
Republik tersebut dilaporkan mampu menghasilkan lebih 70 juta tan beras setahun melibatkan kira-kira 10 juta hektar sawah yang membekalkan komoditi domestik berkenaan untuk kegunaan ratusan juta penduduknya.
Ini meletakkan Indonesia sebagai pengeluar beras ketiga terbesar di dunia selepas China dan India, malah rakyat negara itu merupakan pengguna beras perkapita tertinggi di dunia iaitu purata seorang 140 kilogram setahun.
Dalam acara tersebut, Andi Amran mewakili Jokowi yang tidak dapat hadir atas sebab tertentu; membaca teks ucapan rasmi presiden itu di hadapan masyarakat tani dibawa khas dari kesemua 34 wilayah seluruh Indonesia.
Jokowi menerusi teks itu menjelaskan, Indonesia yang memiliki 252 juta penduduk dan dengan pertumbuhan populasi mencapai sekitar 1.49 peratus setahun, sebenarnya memerlukan bahan makanan dalam jumlah besar.
Justeru presiden berhasrat agar tahap ‘keberhasilan’ makanan sendiri dapat dicapai dalam tempoh tiga tahun pemerintahannya dengan pengeluaran komoditi itu harus ditingkatkan sehingga import berjaya dihapuskan.
Presiden menyatakan, demi mencapai matlamat itu, beliau mengarahkan Menteri Pertanian untuk menyelesaikan masalah utama sektor pertanian iaitu sistem pengaliran yang rosak sekitar 50 peratus di seluruh Indonesia.
Kementerian itu turut diarahkan memperbaiki isu penghasilan benih berkualiti tinggi yang masih kurang selain pengagihan baja belum tepat kepada sasaran, kurangnya jentera pertanian dan masalah tenaga manusia. – Agensi