Golongan Perokok Dianggap Masyarakat Kelas Ketiga Di Malaysia?

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang Anggota Parlimen hari ini cuba mempertahankan hak penghisap rokok yang beliau anggap selalu diketepikan dan dianggap sebagai masyarakat kelas ketiga di negara ini.

Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan berkata ketika ramai yang mengadu berikutan kenaikan banyak harga barang, para perokok juga menerima kesan harga rokok yang naik dengan begitu tinggi.

“Apabila harga rokok naik…kami nak mengadu pun tak boleh. Harga rokok naik daripada RM13 (sekotak) terus ke RM17, tak de naik setakat 50 sen. Jadi bila kerajaan dah naikkan harga rokok, mungkin boleh dipertimbangkan tempat merokok yang baik…buat satu sudut yang cantik,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini Rabu.

Perkara yang dibangkitkan oleh Hasbullah itu menarik perhatian beberapa anggota parlimen lain untuk mencelah perbahasan.

Antaranya Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) yang membangkitkan pula mengenai hak orang ramai yang menerima kesan daripada tindakan perokok dan menyokong tindakan menaikkan harga rokok.

“Saya sokong tindakan kerajaan untuk menaikkan harga rokok. Ini isu kesihatan, dan bukan kerana kerajaan nak tambah pendapatan.

Saya bukan perokok, dan boleh dikatakan anti-perokok. Kena juga difikirkan kesan kepada perokok pasif, yang bukan penghisap rokok tetapi menerima kesan daripada perokok di sekeliling mereka,” katanya.

Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pada perbahasan selepas itu turut menyentuh mengenai harga rokok yang bagi beliau perlu dinaikkan lagi kerana ia bukan merupakan barangan yang penting.

“Rokok tak penting. Naikkan lagi cukai rokok…bagi GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan). Kalau ada vape, vape pun kenakan GST. Biar lagi susah (nak merokok),” katanya. – BERNAMA