ANGGOTA ekspedisi berehat di depan pintu masuk Gua Conviction. |
Miri - Kewujudan Gua Conviction yang dianggarkan berusia enam juta tahun di lembah tersembunyi Gunung Api, Mulu di sini, belum terungkai sepenuhnya dan memerlukan lebih banyak penerokaan.
Ketua penerokaan, Andy Eavis berkata, tiada had masa meneroka Gua Conviction dan proses itu diteruskan dalam ekspedisi akan datang.
Menurutnya, ada lebih 30 laluan dalam gua berkenaan yang perlu diteroka nanti.
“Ketika menemui Gua Conviction, kami turut menemui laluan menghubungkan antara dua gua dan ini dinamakan jurang generasi.
“Banyak yang belum terjawab dengan penemuan gua baru ini dan berharap ia terungkai dalam misi seterusnya yang bermula bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan menerusi Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini, semalam.
Menyentuh mengenai nama Gua Conviction, Eavis berkata, kumpulan ekspedisi yakin penerokaan mereka berhasil dengan penemuan gua baru dan ia terbukti pada 15 Oktober lalu apabila menemui sebuah gua bertaraf dunia di bahagian utara lembah Gunung Api.
Menurutnya, ia dinamakan Gua Conviction kerana seorang daripada peneroka, Dave Nixon begitu yakin ada gua di kawasan itu.
“Apabila kami menemuinya, maknanya keyakinan kami berhasil dan terus menamakannya Gua Conviction,” katanya.
Gua Conviction mempunyai laluan menakjubkan sebesar 3.2 kilometer, lebih 100 meter dalam dan antara 20 kebuk gua terbesar di dunia.
Dalam perkembangan berasingan, kumpulan berbeza melakukan imbasan pada ‘chamber’ Gua Sarawak serta kebuk Gua Api dengan menggunakan peralatan pemetaan laser berkualiti tinggi dan menghasilkan model 3D gua itu.
‘Chamber’ Gua Sarawak melebihi 9.8 juta kubik meter dan 160,000 meter persegi dan adalah kebuk gua terbesar di dunia, tetapi kekal sebagai gua berstrukturkan alam sekitar terbesar di dunia.
Mios Room di China berada pada kedudukan pertama dengan 10.57 juta kubik meter tetapi lebih kecil pada kawasan dengan 141,000 meter persegi.
Eavis berkata, imbasan yang dibuat pada ‘chamber’ Gua Api mendapati ia berada dalam kedudukan antara 10 kedudukan kebuk gua terbesar di dunia dengan 2.97 juta kubik meter dan 57,000 meter persegi.
“Di negeri ini, bukan ada satu, tetapi dua chamber gua terbesar di dunia,” katanya.
Sumber: myMetro