Gunasekaran (empat, kanan) menyerahkan sumbangan kepada Zulkifli, kelmarin. |
ALOR SETAR – Semua parti pembangkang perlu berada dalam satu blok yang sama untuk menentang BN pada PRU14, kata Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, K Gunasekaran Kuppan.
Menurutnya, perkara itu penting demi memastikan hanya berlaku pertandingan satu lawan satu dalam pilihan raya nanti.
Mengulas hubungan antara PKR dan Pas di Selangor, Gunasekaran berkata mereka masih berkawan dan bersama-sama menjaga mandat rakyat.
“Kita buat keputusan untuk bersama dengan semua parti pembangkang termasuk Pas supaya kita dapat bersama-sama menjaga mandat yang diberikan rakyat pada PRU13 lalu.
“Jika kita bertelagah antara satu sama lain, saya khuatir kita tidak dapat menjaga rakyat dengan betul,” katanya ketika ditemui pada program penyampaian sumbangan Deepavali PKR Selangor kepada PKR Kedah di pekarangan Pejabat PKR Kedah, di sini, kelmarin.
Sumbangan barangan keperluan makanan bernilai RM16,800 itu disampaikan kepada Setiausaha Kerja PKR Kedah, Kapten (B) Zulkifli Shafie untuk diagihkan kepada 15 Cabang PKR Kedah.
Tambahnya, keadaan politik di Selangor dalam keadaan stabil dan tidak seperti yang dimainkan oleh sesetengah media.
“Pada saya, Pas Selangor adalah sebuah jawatankuasa yang profesional dan tidak seperti Pas Pusat kerana mereka selalu berbincang dalam hal-hal berkaitan dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali,” katanya.
Sumber: Sinar Harian