Gunung Jerai Bakal Diisytihar Geopark Kedua Di Kedah - Mohd Rawi


ALOR SETAR - Gunung Jerai bakal diisytihar sebagai geopark kedua Kedah selepas Pulau Langkawi dalam masa terdekat.

Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pasukan penyelidik dari jawatankuasa penilai kini dalam proses menyiapkan kertas kerja untuk diserahkan kepada kerajaan negeri bagi memohon pengisytiharan itu pada bulan hadapan.

Menurutnya, semua ciri geopark ada pada Gunung Jerai termasuk sejarah, aktiviti tamadun arkeologi dan hutan simpan. Manakala Pulau Langkawi lebih kepada alam semula jadi dan geologi.

“Jika usaha itu terlaksana Gunung Jerai akan disenaraikan antara lebih 100 rangkaian geopark seluruh dunia,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Menjejaki Warisan Seni Bina Kedah (Jejak) anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Balai Seni, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pengisytiharan itu bukan sahaja dapat menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2016 tetapi membuka peluang menjana ekonomi kepada masyarakat setempat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rawi berkata, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) akan mengendalikan sepenuhnya kerja menaik taraf kawasan arkeologi Sungai Batu termasuk menyediakan tempat letak kereta sementara, kaunter tiket, tandas, restoran dan infrastruktur lain.

“Setakat ini ia masih dalam proses tender dan kita harap dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan sebelum sebagai permulaan menggamit pelancong melawat Tamadun Sungai Batu.

“Mereka juga terlibat mempromosikan kawasan itu dan mengendalikan sebarang permohonan berkaitan,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Warisan turut diminta menambah geran peruntukan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk meluaskan lagi kawasan mengesan tempat arkeologi terutama di negeri ini.

“Dengan geran RM500,000 sekarang ini, proses pencarian agak terhad dengan kawalan keselamatan di tapak arkeologi juga sangat minimum.

Sementara itu, mengulas mengenai pameran Jejak, Mohd Rawi berkata, ia menonjolkan hasil kerja gigih pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) dalam mengangkat semula seni bina bangunan lama yang penuh bersejarah.

Katanya, usaha menghasilkan semula lukisan terukur terhadap bangunan bersejarah yang terpilih memberi sumbangan besar kepada masyarakat serta boleh menjadi sumber rujukan penting.

Menurutnya, projek Jejak dilaksanakan dengan kerjasama Unit Seni Bina Polimas dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Lembaga Muzium Kedah, Majlis Agama Islam Kedah dan Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

“Antara 10 bangunan lama yang terlibat ialah Balai Besar, Istana Pelamin, Istana Sepachendera, Istana Kuning, Istana Kesoma, Balai Nobat, Menara Jam, Bangunan Wan Mat Saman, Muzium Lama Kedah dan pusat penerangan pelancongan.

“Beberapa pelan lukisan terukur bangunan itu tiada dalam simpanan JKR kerana dibina sebelum merdeka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian