Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. |
KUALA LUMPUR – Sebarang kritikan yang dibuat secara ikhlas termasuk
apabila berbeza pendapat akan membantu menguatkan organisasi, kata
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Salleh dalam catatan di laman blognya sskeruak.blogspot.com hari ini,
berkata setiap orang akan mempunyai perbezaan pendapat, tetapi ia
bergantung dari sudut mana mereka melihat sesuatu perkara itu.
“Kita harus bersetuju untuk berbeza pendapat, tapi kita tidak harus
bersetuju untuk membenarkan perbezaan pendapat itu membawa kepada
kehancuran,” katanya.
Beliau turut menegaskan kritikan membina yang dibuat secara berterus-terang dan beradab akan membawa hasil yang baik.
“Namun perlu diingat bahawa mengkritik dan berbeza pendapat bukan bererti ‘gunting dalam lipatan’,” katanya.
Salleh berkata ‘gunting dalam lipatan’ adalah sikap hipokrit dan berpura-pura baik tetapi ada niat dan agenda tersembunyi.
“Memang orang-orang seperti ini ada di sekeliling kita. Cuma mungkin
tidak kelihatan secara ketara kerana pandai ‘bermain wayang’. Tapi siapa
yang makan lada, dia akan terasa pedasnya,” menurut Salleh. – BERNAMA