Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil |
KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa pelaksanaan
Sistem penguatkuasaan automatik (AES) tidak perlu diteruskan kerana
pelanggaran had laju dan lampu isyarat bukan faktor tunggal kemalangan
jalan raya.
Timbalan Ketuanya, Muhammad Faiz Fadzil sebaliknya mendakwa, kenaikan
harga barangan yang menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya di
Malaysia waktu ini.
“Pelanggaran had laju dan lampu isyarat bukanlah faktor tunggal
berlaku kemalangan jalan raya di mana terdapat faktor penyumbang lain
termasuk keadaan kenderaan.
“Penurunan harga barang bagi menggalakkan rakyat sentiasa
menyelenggara kenderaan dengan baik adalah langkah lebih berkesan bagi
mengatasi masalah ini,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Muhammad Faiz menuduh pelaksanaan AES cuma langkah kerajaan
untuk mendapat hasil daripada rakyat melalui saman yang dikeluarkan ke
atas pesalah trafik.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini
menegaskan kerajaan tidak akan menghentikan operasi AES walaupun
mendapat bantahan keras parti-parti pembangkang.
Beliau sebaliknya berkata, program tersebut sedang dikaji semula bagi
memastikan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah
menjelang awal tahun depan.
“Kita mahu melaksanakan polisi terbaik untuk rakyat, jadi kita harus
memastikan sistem berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah,” kata
Tiong Lai. – Kedahnews.com