Hina PDRM "PUK****", Lelaki Berdepan Denda RM50,000, Penjara

Sekiranya diteliti di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, kami yakin bahawa kata-kata keji, kesat, menghina dan mengutuk sememangnya amat mudah untuk dikesan, seolah-olah ia merupakan perkara biasa.

Walaupun Islam, bahkan semua agama di dunia melarang penggunaan kata-kata keji dan menghina, namun realiti itulah yang berlaku di kalangan warga netizen yang kononnya marah serta cuba mengekspresi perasaan di laman sosial.

Namun tidak ramai yang tahu bahawa tindakan menghina sebegitu mampu mengundang padah sebagaimana yang berlaku terhadap seorang operator kilang berusia 25 tahun di selatan tanahair.

Lelaki itu dilaporkan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Johor Bahru, semalam di atas pertuduhan menghina dan mengaibkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook miliknya.

Tertuduh, G. Vinoth mengaku tidak bersalah atas tuduhan memuat naik satu kenyataan "INI TAK SALAH KE PUK****...Krete Polis Roadtax date Dah Expird 4 tahun" di laman Facebooknya di bawah nama Luke Vinoth pada kira-kira pukul 9.48 malam 24 Oktober lalu.

Memetik dari mStar, difahamkan bahawa lelaki itu telah didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Media 1998 (Akta 588).

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan itu, kami ingin menyarankan kepada semua pihak supaya mengambil iktibar dari kes berkenaan dan menyeru supaya menerima nasihat bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak, semasa hayatnya.

Azizan semasa hayatnya menggesa supaya menggunakan cara Islam untuk melakukan apa saja perbuatan dalam hidup kita dan menghina pihak lain merupakan satu muamalah yang dilarang oleh agama Islam.

Berfacebook dan berinstagramlah sampai pagi sekalipun, jika ikut cara Islam, inshaAllah kita tidak akan tergelincir ke lembah dosa mahu pun didakwa melanggar undang-undang negara.

Hanya Allah sahaja yang berhak mengutuk hambaNya, sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Lahab yang mengutuk dan mencelakakan Abu Lahab atas kezalimannya terhadap Rasulullah SAW. Wallahu'alam. -Kedahnews.com