Honda Malaysia Lancar Pusat 3S Bernilai RM19 Juta Di Semenyih


KUALA LUMPUR – Honda Malaysia Sdn Bhd semalam melancarkan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) bernilai RM19 juta di Semenyih, Selangor yang mempunyai 14 ruang servis untuk menampung 30 kereta sehari.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkataa pusat tersebut yang diuruskan oleh SAG Ultimate Sdn Bhd, mempunyai kawasan binaan dengan keluasan 22,000 kaki persegi di tapak tanah seluas 61,000 kaki persegi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Yoiciro Ueno berkata kemudahan baharu itu direka untuk memberikan suasana selesa dan kondusif kepada pelanggan.

SAG Ultimate ialah pengedar pertama Honda berdasarkan Program Kemudahan Pengedar Baharu syarikat itu untuk mengukuhkan standard operasi semua pengedar.

Dari Januari hingga Oktober tahun ini, Honda Malaysia menjual 74,920 unit kenderaan iaitu peningkatan 19 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, mengukuhkan kedudukan penerajunya bagi segmen kereta bukan nasional.

Dengan 86 pengedar setakat ini, pengeluar kereta Jepun itu yakin akan dapat mencapai sasaran 90 pengedar pada 2016. – BERNAMA