Hubungan Malaysia - China Di Tahap Paling Terbaik Dalam Sejarah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR – Hubungan Malaysia dan China kini berada pada tahap paling tinggi dalam sejarah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu turut dipersetujui Presiden China Xi Jinping dalam pertemuan dengan Najib di Manila, Filipina pada Selasa.

“Xi menyuarakan China akan memberi keutamaan tinggi kepada hubungan dengan Malaysia serta terus memberi sokongan kepada usaha memperkasakan hubungan strategik kedua-dua negara,” kata Najib dalam catatan terbaharu di blognya najibrazak.com malam ini.

Selain itu, Xi juga memberi penjelasan mengenai reformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan di China dalam pertemuan tersebut, kata perdana menteri.

“Antara perkara penting yang disentuh adalah hasrat China untuk menggandakan saiz ekonomi dan pendapatan per kapita mereka menjelang 2020 berdasarkan penanda aras 2010,” katanya.

“Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi China kini lebih perlahan tetapi beliau yakin China boleh mencapai kadar tujuh peratus bagi tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata Xi juga melahirkan penghargaan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ingin terlibat sama dalam membabitkan ASEAN sebagai sebuah komuniti ekonomi.

“Sehubungan itu, Presiden China ingin melihat supaya Komuniti ASEAN dapat dimuktamadkan segera. Selain Komuniti ASEAN, China juga menunjukkan minat yang tinggi terhadap proses membida Projek Keretapi Laju Malaysia-Singapura.

“Dalam pada itu Xi turut menyambut baik hasrat saya untuk menerima lebih ramai pelancong China. Beliau menyuarakan pandangan bahawa kesan MH370 mungkin sudah berlalu dan berharap lebih ramai pelancong China melawat Malaysia,” katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan walaupun ia masalah yang kompleks, China menghargai pendekatan yang diambil Malaysia melalui ‘diplomasi senyap’ dan Presiden China itu selesa dengan pendekatan Malaysia yang tidak berkonfrontasi tetapi secara diplomasi dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Keutamaan kita ialah tidak membangkitkan ketegangan tetapi sebaliknya menekankan pentingnya menjaga keamanan dan keharmonian,” kata Najib. – BERNAMA