Hukum "Harus" Bagi Umat Islam Ucap Selamat Deepavali, Kata PAS


KUALA LUMPUR – Majlis Penyelidikan dan Tafaqquh Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) berpandangan adalah harus bagi umat Islam Malaysia mengucapkan tahniah kepada penganut agama Hindu bersempena perayaan Deepavali.

Pengarah Operasinya, Ahmad Mouhyideen Hasin berkata, ucapan oleh umat Islam tersebut bagaimanapun tidak boleh mengganggap dan mempercayai bahawa agama Islam adalah sama dengan agama Hindu.

“Perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita (umat Islam) terhadap agama mereka (Hindu) tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka.

“Sikap ini daripada satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama lain dengan menjaga batasan syarak yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Mouhyideen berkata, Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah turut mengharuskan ucapan tahniah dan selamat kepada perayaan agama lain jika mereka bukan termasuk orang-orang yang memerangi kaum muslimin.

Justeru, katanya, PAS yang memiliki Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan menyesuaikan keadaan itu demi untuk mempastikan sambutan Deepavali berjalan dengan lancar.

“DUPP akan cuba sedaya upaya mungkin agar perayaan ini tidak terganggu dan janggal,” katanya. –Kedahnews.com