Abd Ghani (tengah) berbual dengan ahli keluarga penghuni penjara pada Program Jalinan Kasih sempena Deepavali semalam. |
POKOK SENA - Hanya kerana mahu menyara empat anak, seorang ibu tunggal sanggup mencuri barang kemas milik majikan.
Tindakan wanita hanya dikenali sebagai Devi, 41, itu akhirnya menyebabkan dia dipenjarakan selama tiga tahun di Penjara Pokok Sena.
Menurut Devi, dia terpaksa mencuri untuk membiayai perbelanjaan anak-anaknya selepas segala wang simpanannya telah habis.
"Saya terdesak melakukannya supaya anak-anak dapat makan serta pergi ke sekolah.
"Malangnya, tindakan pertama kali ini disyaki majikan saya dan membuat laporan polis," katanya semasa ditemui dalam Program Jalinan Kasih Sempurna Deepavali peringkat penghuni Penjara Pokok Sena, semalam.
Katanya, dia mulai sedar dengan kesilapannya dan selepas menjadi penghuni penjara barulah dia sedar mahalnya nilai kebebasan yang dikecap sebelum ini.
Menurut ibu tunggal itu, Deepavali kali ini sungguh menyedihkan kerana tidak dapat meraikan bersama empat anaknya yang tinggal bersama saudaranya di Sungai Petani dan Kuala Lumpur.
"Walaupun dia dipenjarakan hampir enam bulan di situ tetapi anak-anak serta saudaranya sentiasa melawatnya dan memberi semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Di sini saya banyak mendapat motivasi daripada Bahagian Pemulihan dan Rawatan yang membimbing, memberi kesedaran serta pengajaran kepada saya,” katanya.
Bagi Ramesh, 24, dari Kulim pula berkata, dia sangat gembira dapat berjumpa kali kedua bersama dengan keluarganya itu sempena Deepavali ini.
“Sejak dipenjarakan di sini selama lima tahun, sikap saya banyak berubah dengan menyertai pelbagai kursus serta mendapat bimbingan kaunseling dari Penjara Pokok Sena.
“Saya kesal dengan perbuatan lalu yang mengikut rakan-rakan hingga terjebak dalam pergaduhan seterusnya dibawa ke tembok batu ini. Dahulunya saya banyak mengikut perasaan setiap kali bertindak dan kini mulai insaf atas segala perbuatan yang dilakukan,” katanya yang dipenjarakan selama 20 tahun kerana kes bunuh.
Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara Pokok Sena, Abd Ghani Md Isa berkata, majlis itu bertujuan merapatkan hubungan penghuni di penjara berkenaan dengan keluarga mereka.
Katanya, keluarga juga memainkan peranan utama dalam memulihkan kehidupan mereka selepas melakukan kesalahan pada masa lalu.
"Kedatangan keluarga ini secara tidak langsung menunjukkan banduan di sini masih diterima oleh keluarga mereka," katanya.
Sumber: Sinar Harian