Idi Bakhtiar Sudah Puas Ditembak #PaintballWorldCup2015 #PWC2015


Sudah terbiasa ditembak di setiap bahagian tubuhnya, salah seorang pengadil bagi Kejohanan Piala Dunia Paintball 2015 enggan lagi memakai penampan tubuh yang digunakan untuk mengelak kecederaan dirinya.

Idi Bakhtiar yang dilantik menjadi marshall di kejohanan dunia yang sedang berlangsung di pulau lagenda itu, dia sudah "parah" ditembak di sepanjang pembabitannya dalam dunia sukan ekstrim berkenaan sejak menceburinya secara serius sejak lebih tiga tahun.

"Dulu mula-mula ada pakai pad di badan, tapi sekarang dah tak pakai.. dah selalu sangat kena tembak.


Katanya, keputusan untuk tidak memakai penampan badan itu turut disebabkan posisinya sebagai pengadil pertandingan yang perlu lama berada di medan tempur pasukan yang bertanding menyebabkan dia rimas dan teruk berpeluh.

"Panas.. bila pakai lama-lama memang panas.. berpeluh-peluh saya dibuatnya, rimas.. nanti ganggu pula tumpuan saya untuk jadi pengadil," jelas peminat tegar sukan paintball dari Singapura itu kepada Kedahnews.com.

Katanya, setiap pemain perlu selaraskan "marker" masing-masing tidak lebih dari 300 psi bagi tujuan tidak menyebabkan kecederaan pada pemain sekiranya ditembak ketika pertandingan.

"Kalau lebih dari had itu, ia mampu cederakan pemain..," jelasnya.

Pelindung kepala sukan paintball yang WAJIB dipakai oleh setiap marshall ketika perlawanan
Kata Idi lagi, jika dia menyertai kejohanan sebagai peserta yang bertanding maka sememangnya dia memakai penahan badan sebagaimana para peserta lain di kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa meskipun sakit dan kadangkala cedera akibat sukan lasak berkenaan, dia tetap terus bermain dan seronok dengan pembabitannya dalam dunia paintball disebabkan minat yang tinggi.

"Saya pun tak tahu kenapa saya terus main... minat kot..," katanya. -Kedahnews.com