![]() |
| Ika Nabella |
Pelakon baru, Ika Nabella yang dikatakan telah dipukul oleh seorang pengarah beberapa hari lalu kini dilapor sedang beransur pulih dari kecederaan yang dialami dan memberi kenyataan melalui rancangan Melodi yang disiarkan semalam.
Ika dalam kenyataannya yang dipetik dari sebuah portal mendakwa ketika hari kedua penggambaran, pengarah itu tiba-tiba memukulnya di kedua-dua belah muka bertubi-tubi menggunakan tangan dan membaling botol air mineral dan menarik rambutnya tanpa sebab.
"Seorang lagi pelakon di tempat kejadian cuba untuk meredakan keadaan dengan memeluk saya. Dia stop dan berlalu pergi. Ini adalah kali ketiga saya bekerja dengan pengarah itu. Saya tak pernah ada masalah dengan dia.
"Lepas dia pukul saya, dia orang lunch break, dia datang berjumpa saya, bercakap mengenai lakonan saya. Dia cakap reaction sebegini yang dia mau. Dia ambil video, rakam wajah saya selepas dipukul itu.
"Mungkin betul, feel saya tak seperti yang dia mahukan (sambil tunjuk video yang dirakam pengarah).
"Saya rasa dia pukul saya sebab dia nak saya feel reaction tu la. Dia ada mention reaction (yang pengarah mahukan) selepas dia pukul saya tu," jelas Ika kepada rancangan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ika mendakwa ditumbuk di bahagian muka dan beberapa bahagian badan ketika berlakon di dalam drama Dawai Asmara di Hulu Klang Isnin lalu.
Pengarah tersebut yang merujuk kepada Azma Aizal Yusoff, turut mengaku ada memukul pelakon tersebut namun dengan bersebab dan dia telah pun memberi keterangan kepada pihak polis.
Sementara itu, Ika yang kini sudah beransur pulih menyatakan dia memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pembabitannya di dalam drama yang dibintanginya itu. -Kedahnews.com
