Anggota penguatkuasa imigresen (kiri) melakukan soal siasat terhadap seorang peniaga di tapak Pasar Kemboja, kelmarin. |
POKOK SENA - Tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) dan seorang warga
tempatan ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan sempena Ops Sapu di dua
gerai menjual pakaian di tapak Pasar Kemboja, kelmarin.
Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata, operasi itu bermula pada jam
9 malam diketuai Timbalan Penolong Pengarah, Yusrazif Wan Yusof
bersama 18 pegawai Imigresen Bahagian Penguatkuasaan.
Menurutnya, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas empat lelaki warga
Kemboja, seorang wanita warga Indonesia dan 17 lelaki warga tempatan di
dua lokasi terbabit.
“Hasil pemeriksaan digerai pertama yang terletak bersebelahan Pejabat
Daerah Pokok Sena, seorang lelaki Kemboja berumur 18 tahun dan seorang
lelaki tempatan berumur 20 ditahan.
"Pada pemeriksaan tapak perniagaan kedua, bersebelahan dengan restoran
makanan segera, Pizza Hut, seorang lelaki warga Kemboja berumur 17 tahun
dan seorang wanita warga Indonesia berumur 20 tahun ditahan,” katanya.
Menurut Mohamad Yusri, siasatan awal mendapati dua lelaki warga Kemboja
ditahan kerana melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial
dan disiasat mengikut Per39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Manakala wanita warga Indonesia ditahan kerana didapati tidak memiliki
dokumen perjalanan yang sah dan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c)
Akta Imigresen 1958/63 (Pindaan 2002).
"Sementara itu, lelaki tempatan ini dipercayai melindungi warga asing
dan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) akta yang sama," katanya.
Keempat-empat mereka itu telah ditahan dan dibawa di lokap Imigresen
Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan
tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen, Belantik
Sik.
Sumber: Sinar Harian