ALOR SETAR – Imigresen Kedah menahan dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Kemboja dan seorang Indonesia dalam ‘Ops Sapu’ di Pokok Sena, malam tadi.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata kedua-dua lelaki warga Kemboja dan seorang wanita Indonesia itu ditahan dalam operasi di dua gerai menjual pakaian di tapak pasar Kemboja pada pukul 9 malam.
“Ketiga-tiga mereka ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini dan menambah, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut ditahan kerana melindungi PATI.
Mereka ditahan di lokap Imigresen, bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA