Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr Zainah Ibrahim |
GEORETOWN - Tapak Arkeologi Sungai Batu di Kedah dianggap sebagai tapak industri besi tertua di dunia tetapi masih perlu disahkan melalui aspek saintifik dan teknikal yang lebih teliti.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Dr Zainah Ibrahim berkata, proses itu tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana perlu mengambil masa lama selain kajian yang lebih terperinci.
“ Walaupun beberapa bukti ditemui namun saya berharap semua pihak dapat bersabar,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian Karnival Nilai-Nilai Murni dan Semarak Warisan 2015,di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelacongan dan Kebudyaan, Datuk Mas Ermieyati selepas merasmikan program itu berkata, kajian di tapak Arkeologi Sungai Batu itu bermula sejak 2009 oleh Jabatan Warisan Negara bersama Universiti Sains Malaysia (USM).
“Penemuan ini bukan sahaja merekodkan Malaysia bakal muncul sebagai tapak warisan paling tua di dunia dan mampu mengatasi tapak industri besi yang terdapat di Korea dan Perancis,” katanya .
Beliau turut menyangkal dakwaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kononnya kerajaan tidak serius untuk mendapatkan pengiktirafan warisan tinggalan sejarah industri besi di Sungai Batu walaupun boleh berbuat demikian melalui Akta Warisan Negara.
“Dakwaan kerajaan mengabaikan potensi tapak warisan sejarah di negara ini adalah tidak benar sama sekali kerana 50 peratus kawasan itu sudah dipetakan melalui proses ekskavasi dengan peruntukan kerajaan,” Katanya.
Terdahulu, beberapa NGO mendakwa kerajaan Perancis dan Korea Selatan mengisytiharkan negara mereka sebagai tapak permulaan industri tersebut walaupun hanya menemui 10 longgokan tuyere besi berbanding di Kedah yang dipercayai mempunyai lebih banyak longokkan tuyere besi purba.
Sebelum ini, tapak Warisan Sungai Batu turut mengejutkan ramai pihak berikutan penemuan kapal purba yang dipercayai berusia hampir 2000 tahun oleh pengkaji tempatan.
Malah, penemuan itu dipercayai menyaingi tapak warisan di negara jiran iaitu Candi Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja.
Sumber: Sinar Harian