Ketika sibuk mengemas butik saya di Bangi, insya-Allah akan dibuka hujung minggu ini, mata saya ‘menangkap’ seorang pak cik di luar butik sedang mencari barang buangan di tong sampah besar. Sebelum ini rakan saya ada memberitahu yang ada orang tua naik motor ambil barang buangan dalam tong sampah. Saya percaya pak cik inilah yang dimaksudkan rakan itu.
Pakcik ini saya kira usianya mungkin pertengahan 50-an. Dia menaiki motor dan memarkirnya di sebelah tong sampah besar itu sambil membelek kotak dan kertas yang ada di dalam tong besar itu.
Kebetulan, saya dan rakan baru sahaja mengambil beberapa kotak besar yang berisi barang ke butik dan mengemas mengeluarkan barangan daripada kotak.
Saya kira matanya ternampak kotak yang sedang kami kemas. Tak lama kemudian dia membuka pintu dan menjengukkan kepalanya sedikit lalu bertanya ada atau tidak kotak yang tak dipakai. Katanya dia nak kutip dan jual.
Kebetulan memang ada kotak yang nak dibuang. Saya jemput dia masuk dan mengambil kotak yang kami sudah habis punggah. Sambil dia melipat kotak itu saya sempat berborak dengan dia.
Memang benar sebelum ini saya sering tertanya bagaimana agaknya pendapatan orang yang menjual barang kitar semula. Saya sering melihat orang tua mengutip tin dan kotak di tong sampah dan mengayuh basikal dari satu tempat ke tempat lain.
Pemandangan ini bukan sahaja saya lihat di Malaysia, malah adalah perkara biasa yang sering dilihat di negara lain seperti Indonesia, China dan beberapa negara lain yang saya pernah pergi. Berapa agaknya pendapatan yang mereka perolehi hasil jualan barangan kitar semula ini.
Lalu saya bertanya berapa harga sekilo kotak ini kalau dijual. Saya lihat wajahnya berubah macam tersipu-sipu. Kelihatan macam serba salah nak jawab, tapi agaknya sebab saya dah bagi kotak ini kepada dia, dia jawab juga.
Katanya tak banyak pun, lebih kurang 30 sen sahaja sekilo. Tapi katanya 30 sen itu pun sebenarnya dah mencukupi bagi dia. Katanya boleh la lepas belanja anak pergi sekolah.
Tiba-tiba hati saya menjadi sebak, cuma tidak diekspresikan daripada mimik muka. Pelbagai persoalan bertalu-talu masuk dalam pemikiran saya.
Saya kira kotak yang besar itu maksimum beratnya cuma tiga kilogram sahaja atau kurang. Kemudian pakcik ini naik motor pula, agaknya berapa sangatlah yang dapat pak cik ni bawa dan jual ke pusat kitar semula dalam sehari.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar hari ini serta kenaikan harga barang dan kos sara hidup, bagaimana agaknya pak cik ini menyara keluarga dengan pendapatan sebegitu. Kalau 30 sen sekilo, apa sangatlah yang boleh dibeli. Telur goreng pun tak lepas, itu apa yang saya fikir.
Namun, saya teringat kembali sebenarnya yang mencukupkan rezeki kita di atas muka bumi ini bukan wang ringgit dan bukan berapa banyak yang kita dapat. Allah sebenarnya yang mencukupkan keperluan hamba-hamba-Nya.
Saya teringat firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud;
“Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.” (Surah Saba’, ayat 39)
Saya teringat akan janji Allah yang akan memberikan rezeki asal hamba-Nya berusaha. Dan bukti ini ada di depan saya. Barang siapa yang berusaha, pasti ada ganjarannya daripada Allah. Cuma kita mungkin perlu bersabar sama ada hasil usaha itu cepat atau lambat.
Mudah-mudahan Allah kurniakan limpahan rezeki yang berkat buat pak cik ini. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang selalu bersyukur. Lihatlah orang di bawah kita untuk selalu bersyukur, jangan terlalu kerap melihat orang di atas kerana takut kita lupa diri.
Sumber: myMetro