#Islam: Apakah Sebenarnya Kaitan Zakat Dengan Kebesaran Allah?


Soalan: Apakah kaitan zakat dan kebesaran Allah? Mohon pencerahan ustaz.

JAWAPAN

Tanda-tanda kebesaran Allah SWT sentiasa ada di mana-mana. Hadapkan wajah kita, sama ada timur, barat, utara atau selatan. Di situ, akan terpamer pelbagai kehebatan-Nya. Semuanya adalah untuk kita hayati, bertafakur dan merendah diri kepada-Nya.

Firman Allah:
“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin,” (al-An’am: 75)
Hakikatnya, kebesaran Allah bukan sekadar terpamer pada segala ciptaan-Nya. Ia juga terkandung di dalam pelbagai hukum-hakam dan perintah-Nya yang dinamakan sebagai syariat Allah. Tugas manusia yang beriman ialah menyakini akan syariat ini dan melaksanakannya tanpa ragu dalam kehidupan sehari-hari.

Kita mestilah menjadi seorang yang menilai dan menghayati penciptaan Allah sehingga tumbuh di hati kita rasa keimanan dan ketakwaan. Apabila sudah menyubur rasa seperti ini, nescaya kita beroleh harapan untuk menjadi ‘ulul albab’.

Allah menyeru:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi ulul albab (orang-orang yang berakal),” (Ali ‘Imran: 190).
Para ulama mempunyai interpretasi berbeza mengenainya. Imam an-Nawawi misalnya, menyebut bahawa ulul albab adalah mereka yang berpengetahuan suci, tidak hanyut dalam derasnya arus dunia serta yang terpenting, mereka mengerti, menguasai dan mengamalkan ajaran Islam.

Walau apa pun definisi dan huraiannya, secara mudah dapat dirumuskan bahawa ulul albab adalah manusia yang berjiwa halus dan hidup akalnya atau golongan yang berminda jernih, sehingga mampu menekuni keagungan Allah terhadap hukum-hakam, perundangan dan syariat yang Allah berikan ke atas umat manusia di dunia ini.

Golongan ini menyedari, bahawa segala syariat ataupun peraturan yang Allah turunkan kepada manusia bukan bermatlamat menyusahkan manusia sebalik mempunyai 1,000 rahsia. Persis kenyataan Allah:
“Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah (dengannya).” (Thahaa: 2)
PEDOMAN

Realiti sepanjang zaman menunjukkan, syariat Allah adalah suatu pedoman dan tatacara demi menuntun kehidupan manusia menuju sejahtera. Hidup yang serba cukup, bahagia dan selesa adalah impian semua orang.


Maka, demi melestarikan kesejahteraan inilah, syariat Allah itu perlu dipatuhi, diamalkan secara tuntas dan dijadikan piawaian dalam setiap tindakan agar semua orang beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan yang merata.

Maka, di sinilah agungnya syariat Allah yang bernama zakat. Jika sebuah masakan, ia ibarat rencah yang enak. Dalam kehidupan bermasyarakat, zakat menjadi resipi kebahagiaan.

Perlaksanaannya secara tuntas, bukan sekadar menjadi jambatan yang mampu merapatkan jurang kaya – miskin, namun terlebih utama ia menjadi perkakas bagi penyatuan dan kesejahteraan umat.

Demi manfaat umat, zakat menegah kekayaan hanya berlegar dalam kalangan golongan tertentu sahaja. Seperti mana firman Allah:
“Apa saja harta rampasan (fa’i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota (yang ditakluki) maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarang bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya,” (al-Hasyr: 7)
Sungguhpun ayat di atas menyentuh tentang harta fa’i (rampasan perang secara aman) namun ia menjadi suatu petunjuk bahawa Islam mahukan agar harta kekayaan itu dibahagikan secara adil dan saksama sesama umat.

Sekali gus Islam juga amat menegah harta kekayaan itu daripada sekadar terkepung dalam kalangan tertentu, sama ada dalam kalangan elit mahu pun pertengahan sehingga ada pihak yang terpinggir menikmatinya.

Menerusi zakat juga, ekonomi umat Islam dapat bergerak secara konsisten menuju keluk keseimbangan. Maksudnya, dengan zakat yang dikeluarkan maka ia dapat diagih kepada lapan asnaf yang memerlukan. Dari situ, kelak berlakulah aktiviti ekonomi yang aktif kerana kewangan dicairkan dalam masyarakat.

PENJANA UMAT

Malah, lebih indah lagi apabila dana zakat dapat dimanfaatkan sebagai modal pembangunan umat secara mapan. Asnaf yang berpotensi untuk maju, diberikan peluang merubah masa hadapan dan dibantu menerusi pelbagai mekanisme pembangunan diri.


Misalnya, mereka digalakkan menceburi bidang perniagaan, pertanian dan penternakan. Dari situ, maka mimpi bakal menjadi realiti, lalu rezeki yang secupak pun akan menjadi segantang. Lurah yang kering kontang pun akan basah kesuburan.

Kerancakan aktiviti ekonomi seperti ini, pasti sahaja mampu menyumbang kepada kewujudan ekosistem politik dan budaya yang lebih nyaman dan tenteram, seterusnya mampu memacu kesejahteraan negara dengan lebih kukuh dan menyeluruh.

Allah berfirman:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan ketakwaan serta janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya ),” (al-Maidah: 2).
Inilah roh zakat. Ia membolehkan kita menjalani kehidupan sebagai entiti yang saling bertolong-bantu demi melestarikan kebaikan. 

Sesungguhnya, zakat juga mampu menjadi wasilah bagi menjana transformasi umat agar berubah menjadi sebuah umat yang cemerlang dalam urusan keduniaan dan juga urusan akhiratnya. Maka tepatlah andai dikatakan, bahawa zakat sememangnya lambang kebesaran Allah di dunia sekali gus terapi kehidupan buat kita.

Sumber: Utusan