#Islam: Bagaimana Rasanya Pengalaman Hidup Di "Neraka Dunia"?


BAGAIMANA dalam pasca dunia yang mana penghuninya dikatakan sudah sempurna akal, menyanjung prinsip kehidupan demokrasi, kebebasan, keadilan dan kesaksamaan sejagat boleh membiarkan sebuah negara serta bangsa lain hidup bagaikan dalam sebuah neraka?

Sukar dipercayai tetapi itulah realiti yang dilihat dan dirasai sendiri sepanjang 15 hari berada di Palestin baru-baru ini. Datang dengan misi penggambaran 30 hari tetapi terpaksa dipendekkan lantaran keengganan agensi perisikan Israel untuk melanjutkan tempoh perjalanan dan penggambaran kami di bumi Palestin.

Tiada pilihan, selain meninggalkan bumi yang penuh barakah ini. Sedih, dukacita dan kesal. Pun begitu, selama 15 hari di sana, saya pulang membawa bingkisan pengalaman untuk tatapan semua pihak.

Di sebalik peristiwa berdarah yang sudah meragut puluhan nyawa rakyat Palestin oleh tentera Zionis Yahudi sejak lebih dua bulan lalu, kebanyakannya adalah remaja Palestin sementara puluhan yang lain cedera dan ditangkap. Mereka kini berhadapan dengan satu lagi ujian yang dilihat sesetengah pihak bakal mencetuskan intifada ketiga.


Selagi tidak dihentikan, angka korban akan terus meningkat. Di sebalik kematian, kecederaan dan kekerasan itu terdapat fenomena luar biasa lain yang kurang diketahui umum, iaitu yang  mendorong saya menggelarkan Palestin sebagai neraka!

NERAKA DUNIA

Kenapa? Apa sebenarnya yang berlaku dan dialami rakyat Palestin? Mengambil pemahaman mudah neraka sebagai sebuah tempat yang penuh dengan kesakitan dan menakutkan. Sejak 1948 apabila tertubuhnya negara Israel, Palestin dan rakyatnya sudah mendiami sebuah neraka. Kekalahan negara-negara Arab dalam Perang Enam Hari dengan Israel pada 1967 hanya menambah lagi luka penderitaan mereka. Sejak itu kayu dan api yang membakar rakyat Palestin tidak pernah padam malah bertambah marak sampai ke saat ini. Keadaannya sangat dahsyat dan menyedihkan.

Kayu dan api neraka yang saya maksudkan di sini ialah pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan pihak Zionis Yahudi Israel, 24 jam  sehari, 12 bulan setahun dan sudah selama 67 tahun ia berlangsung.

Kekejaman ini dilakukan secara terancang, digubal di parlimen, dikuatkuasakan dan menjadi undang-undang yang perlu dipatuhi setiap warga Palestin tanpa disoal.


Sepanjang 15 hari di bumi berdarah ini, selain diceritakan oleh rakyat Palestin sendiri, saya kemudian melihat dan merasai antara  bentuk penindasan dan kekejaman yang dalam fikiran dan pengetahuan saya tidak wujud di negara lain. Saya hanya mampu memberikan beberapa bukti penindasan dan kekejaman daripada senarainya yang panjang yang membelenggu setiap saat dalam kehidupan rakyat Palestin. Ia berlaku dalam setiap aspek kehidupan rakyat Palestin.

Rakus merampas harta

Kebanyakan tapak penempatan Yahudi Israel sekarang dahulunya milik rakyat Palestin yang dirampas secara kejam. Saya dimaklumkan bahawa pendatang-pendatang Yahudi mengarahkan rakyat Palestin merobohkan rumah mereka sendiri jika tidak mereka terpaksa menanggung kos meroboh yang bakal dilakukan. Tindakan pelik tapi kejam ini dilakukan dengan kerjasama pihak tentera dan polis.


Kami dimaklumkan bagaimana pendatang Yahudi akan bergerak dari atas bukit turun ke kawasan ladang seperti taktik kumpulan dubuk menyerang mangsanya. Mereka yang bersenjata akan membakar, menculik malah sampai ke tahap membunuh peladang Palestin sebelum merampas dan mendirikan penempatan baru mereka.

Pembinaan tembok pemisah Israel sepanjang lebih 730 kilometer dengan ciri-ciri keselamatan canggih dan dibina dengan kos berbilion dollar Amerika Syarikat adalah kemuncak segala penindasan dan kekejaman Zionis Israel ke atas Palestin dan rakyatnya. Saya menyifatkannya sebagai Tembok Neraka.

TEMBOK NERAKA

Terdirinya tembok ini sejak 2002 benar-benar menderitakan rakyat Palestin kerana mereka seolah-olah terhimpun dalam sebuah wilayah yang berpagar tinggi mencecah enam meter, kalis bom dan dikawal 24 jam oleh tentera Israel.

Dengan segala bentuk penindasan dan kekejaman yang dikuatkuasakan sebagai peraturan dan undang-undang, rakyat Palestin tiada pilihan selain hidup menanggung penderitaan dan kesengsaraan yang maha dahsyat sehingga akhir hayat mereka.

Terbaru, ahli-ahli politik Israel dikhabarkan sudah mengeluarkan arahan membenarkan setiap warga Yahudi Israel memiliki senjata api untuk menembak rakyat Palestin. Tidak hairanlah angka korban dalam kalangan rakyat Palestin terus meningkat.

Hari ini rakyat Palestin bukan sahaja dibunuh oleh askar mahupun polis Israel tetapi juga oleh penduduk Yahudi. Ternyata, rakyat Palestin ditekan dengan pelbagai bentuk penindasan dan kekejaman meliputi aspek mental dan fizikal, ekonomi, taraf hidup, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.

Apa yang saya kemukakan di sini hanyalah sebahagian kecil bukti-bukti penindasan dan kekejaman yang meliputi pencabulan hak-hak asasi manusia dalam pelbagai bidang dan di sinilah berlakunya jenayah pembunuhan yang dirancang.

SABUNG NYAWA

Setiap waktu sepanjang berada di sini kami berkesempatan melihat ratusan tentera yang lengkap bersenjata dan penembak tepat Israel berkawal, helikopter dan jet pejuang berlegar 24 jam di udara, bunyi letupan senjata api dan juga siren ambulans sentiasa memecah keheningan hari tanpa mengira waktu.

Di sana-sini kelihatan rakyat Palestin ditahan, diherdik dan disepak terajang, lebih daripada itu kami juga mendengar suara-suara perkauman melampau daripada dalam kereta terhadap rakyat Palestin yang berjalan kaki.


Kami juga berpeluang menghadiri majlis pengebumian rakyat Palestin yang ditembak mati tentera Israel. Yang mati dianggap syuhada dengan seluruh penduduk akan bercuti dan berarak mengiringi jenazah ke makam syuhada.

Kami turut diberi peluang untuk melihat jenazah seorang syuhada di dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Syuhada Aziz al-Sheikh, Hebron yang masih belum hancur walaupun sudah 14 tahun dikebumikan sambil menyedut bau wangi di sekitarnya, Subhanallah!

Kami juga berkesempatan menziarahi sebuah keluarga yang kehilangan dua anak lelaki angkara kekejaman Zionis Yahudi. Seorang ditembak mati manakala seorang lagi masih di dalam penjara Israel, lebih mengharukan beliau dijatuhi hukuman penjara selama 1,800 tahun, satu tempoh yang tidak masuk akal!.

Dengan 1,001 bentuk penindasan dan kekejaman di bumi penuh berkat ini, saya tidak melihat sedikit pun rasa takut dan gentar dalam kalangan rakyat Palestin untuk terus hidup dalam neraka ini. Rata-rata penduduk Palestin memberitahu, kami akan mempertahankan tanah air ini sehingga ke titisan darah yang terakhir walaupun tanpa sebarang bantuan dari luar.

Contoh penindasan

Kemudahan awam seperti tempat menunggu bas di Palestin dibina berbeza. Biasanya yang lebih baik adalah untuk rakyat Israel yang dikawal pihak tentera sepanjang waktu, warga Palestin dilarang menggunakannya. Kemudahan sistem pengangkutan awam seperti LRT dan MRT juga hanya untuk rakyat Israel sementara rakyat Palestin terpaksa menggunakan kemudahan awam seperti bas dan teksi yang serba mundur.

Kemudahan jalan raya moden juga dikhaskan untuk rakyat Israel dan mereka yang tinggal di Jerusalem sahaja sementara rakyat Palestin terpaksa menggunakan jalan raya yang berliku-liku merentasi cerun dan bukit berbahaya - jaraknya lebih jauh dan memakan masa yang panjang.

Keadaan jalan untuk warga Palestin juga daif tanpa sebarang kerja selenggaraan. Rakyat Palestin yang tinggal dalam wilayah-wilayah tertentu dibezakan dengan warna plat kenderaan khusus, sekaligus membataskan perjalanan mereka. Hijau untuk warga Palestin, kuning bagi Israel.

Mereka yang tinggal di wilayah Hebron tidak boleh memasuki Jerusalem, sekali gus tidak boleh memasuki Masjidil Aqsa. Perbezaan warna plat ini memudahkan pihak berkuasa Israel mengenakan pelbagai tindakan terhadap rakyat Palestin. Mereka yang tidak bernasib baik akan dikenakan pelbagai hukuman termasuk kehilangan lesen memandu, ditarik status warganegara, dipenjara dan sebagainya.

SEKATAN PERJALANAN

Dikenakan terhadap mana-mana rakyat Palestin yang ingin ke luar negara, mereka perlu mendapatkan kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri Israel dan kebenaran ini sesuatu yang sukar diperoleh. 

Bagi mana-mana keluarga para syuhada yang menentang Israel atau yang pernah ditangkap dan dipenjarakan, kebenaran perjalanan ini diharamkan, tidak dibenarkan sama sekali keluar dari wilayah apatah lagi untuk keluar dari Palestin. Selain itu, banyak kes yang mana warganegara Palestin yang ke luar negara dihalang untuk kembali tanah air sendiri.

Tindakan itu ternyata berjaya memutuskan hubungan antara ahli-ahli keluarga rakyat Palestin dan disifatkan sebagai strategi ‘Penghapusan Silaturahim’ yang sangat berkesan.

NEGARA CHECK POINT

Turut diwujudkan pusat pemeriksaan atau check point di mana-mana dalam wilayah Palestin termasuk dalam wilayah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin atau PA sendiri. Sekatan ini sangat menyeksakan kehidupan rakyat apabila terpaksa menempuh kesesakan yang amat teruk dan mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke satu-satu destinasi setiap hari.

Seorang pelancong dari Belanda menggelarkan Palestin sebagai negara check point kerana jumlahnya yang begitu banyak. Dalam tempoh konflik seperti sekarang bilangannya meningkat dengan banyaknya semata-mata untuk menyekat kebangkitan rakyat Palestin.

CUKAI MELAMPAU

Rakyat Palestin dikenakan cukai yang sangat tinggi iaitu cukai Palestin dan Israel. Mereka perlu membayar kedua-duanya. Walaupun cukainya tinggi, rata-rata wilayah dan rakyat Palestin ketinggalan tanpa sebarang pembangunan. Kawasan Palestin dibiarkan tanpa sebarang pembangunan dan kurangnya kemudahan.

Kotor dengan sampah sarap, kemudahan bekalan air dan elektrik yang tidak sempurna, kurangnya kemudahan awam seperti taman dan pusat rekreasi, maka kelihatanlah anak-anak Palestin menjadikan jalan raya sebagai tempat bermain, masjid-masjid yang terbiar usang, kemudahan klinik dan hospital yang terhad, begitu juga keadaan sekolah dan institusi pendidikan yang serba mundur tanpa dana bantuan.

Sementara itu adalah mudah untuk membezakan antara penempatan rakyat Palestin dan rakyat Israel. Kawasan dan bentuk kediaman antara kedua-duanya sangat berbeza.

Biasanya rumah dan bangunan milik Yahudi jauh lebih cantik dan besar saiznya, terletak di lereng-lereng bukit dan tepi pantai menjadikannya lebih selesa dan mewah berbanding rakyat Palestin.

Sumber: Utusan