#Islam: Hukum Vape Dari Sudut Pandang Prof Madya Dr Azam Adil


ISU mengenai menghisap vape atau e-rokok menjadi perdebatan hebat kini. Dengan kenaikan harga rokok yang mendadak, menghisap vape dikatakan lebih jimat dalam jangka masa panjang. Tambahan pula, ada dakwaan mengatakan vape adalah cara untuk berhenti merokok. Namun sehingga kini, tiada kajian konkrit yang mengesahkan dakwaan ini,

Baru-baru ini Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak mengharamkan vape walaupun Kementerian Kesihatan telah membuat kajian awal bahawa nikotin yang terdapat dalam cecair vape berbahaya kepada kesihatan manusia untuk jangka masa panjang.

Nikotin boleh menyebabkan penyakit seperti darah tinggi, serangan jantung, kecacatan bayi, rabun, putus haid awal dan kesan sampingan lain. Pengambilan nikotin yang berlebihan dan tidak terkawal juga boleh membawa kepada penyakit barah.

Persoalannya, apakah hukum menghisap vape? Memandangkan kehadiran vape di pasaran Malaysia agak baru, hukum menghisap vape masih tidak banyak diperkatakan. Buat masa sekarang, hanya seorang mufti iaitu Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan yang mengeluarkan hukum ke atas vape. Itu pun belum difatwakan secara rasmi lagi.

Mengambil hasil beberapa kajian yang telah dibuat oleh saintis dan pusat kajian kesihatan di Amerika Syarikat, Eropah dan Malaysia yang mendapati menghisap vape boleh membawa kemudaratan kepada tubuh badan penghisapnya, Dr. Zulkifli berpendapat hukum menghisap vape adalah haram dengan beberapa alasan:


(1). Mengqiyaskan menghisap vape dengan menghisap rokok sebenar.

(2). Pandangan pakar yang mengatakan kemudaratan menghisap vape adalah lebih teruk daripada merokok.

(3). Pembaziran duit dengan membeli alat vape dan cecair yang mahal.

(4). Meniru cara amalan hidup orang Barat.

(5). Amalan yang tidak bermaruah.

(6). Mengambil kaedah Sad al-Zari’ah (menutup pintu kerosakan).

Dr. Zulkifli menambah bahawa Tan Sri Dr. Abd. Syukur Husin, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat kenyataan bahawa penggunaan e-rokok dan vape adalah haram mengambil keputusan pengharaman rokok (1995) dan shisha (2013) kerana berbahaya, membazir dan memudaratkan kesihatan.


Begitu juga fatwa individu seperti Syeikh Muhammad Salih al-Munajjid mengatakan penggunaan e-rokok dan vape adalah haram mengambil pendekatan hukum sama dengan rokok tradisional.

Manakala pandangan oleh Syeikh Uthman al-Khamis bahawa e-rokok dan vape membawa kepada kemudaratan, dan setiap yang mudarat hukumnya adalah haram. Tambahan pula, Islam menuntut penganutnya menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan.

Pandangan di atas sangat tepat melihat kepada konteks maqasid syariah kerana ia berperanan untuk memberi kebaikan kepada manusia sejagat dan menyelamat mereka dari sebarang kemudaratan.

Para sarjana dan fuqaha Islam menggariskan bahawa sesuatu tindakan itu mesti berlandaskan maqasid syariah yang meliputi tiga keutamaan iaitu dharuriyyat (essential), hajiyyat (complimentary) dan tahsiniyyat (embellishment).

Di bawah keutamaan dharuriy­yat, perkara yang menjadi sandaran manusia sama ada bersifat keagamaan dan keduniaan akan menjadi pincang seandainya ia tidak dilaksanakan. Justeru memelihara agama, nyawa, intelek, keturunan dan maruah serta harta menjadi lima nilai keutamaan dalam segala tindak tanduk manusia di dunia ini.


Dalam konteks ini, mengambil kira keutamaan dharuriyyat, menghisap vape merungkai pemeliharaan lima perkara di atas.

Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (al-Baqarah: 195).
Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:
“....dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka...,” (al-A’raf: 157).
Dari segi Sunnah pula, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“La dharar wala dhirar” yang bermaksud “Tidak boleh melakukan perbuatan yang berbahaya dan membahayakan” (Riwayat oleh Ahmad, Malik, Ibn Majah & al-Daraquni).
Dalam satu Kaedah Fiqh (Islamic legal maxims): “dar’ul mafasid muqaddamun ‘ala jalbi al-masoleh” yang bermaksud “menolak kemudaratan hendaklah didahulukan daripada melakukan kebaikan”.

Dengan melakukan qiyas ke atas pengharaman merokok dan vape yang membawa kemudaratan, maka hukum menghisap vape boleh dikategorikan haram.


Dalam komentarnya baru-baru ini, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan membuat satu kenyataan keras ke atas amalan menghisap vape.

Menurut beliau, buat masa ini, tidak seperti rokok, tiada terdapat satu undang-undang dan peraturan khusus yang mengawal selia amalan vape sementara satu jawatankuasa teknikal Kementerian Kesihatan te­lah membuat penyelidikan yang menyeluruh akibat penggunaan vape.

Beliau menambah bahawa terdapat kajian di peringkat global yang menyimpulkan bahawa amalan e-rokok dan vape adalah berbahaya kepada tubuh badan.

Rentetan itu, Jawatankuasa Teknikal Kementerian Kesihatan menyusulkan supaya vape diharamkan. Jawatankuasa tersebut beranggapan bahawa kajian oleh WHO (Organisasi Kesihatan Sedunia) di mana pada tahun 1960-an didapati merokok menyebabkan barah paru-paru walaupun amalan merokok telah berleluasa lebih 100 tahun yang lalu.

Sesungguhnya, pengharaman peng­gunaan vape telah diambil di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan sesetengah negara Eropah. Bahkan tindakan yang sama telah diambil oleh beberapa negara jiran seperti Thailand dan Kemboja.

Dengan kuasa yang ada, Kementerian Kesihatan telah membuat serbuan dan merampas alat dan cecair vape ke atas lebih 300 pengusaha dan pengedar. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati kerana rata-rata mereka orang Melayu yang tidak diberi masa yang cukup dan peraturan tidak jelas.

Walaupun begitu, Kementerian Kesihatan mengatakan bahawa tindakan yang diambil adalah selari dengan Akta Racun 1952 (Pindaan 1989) kerana nikotin adalah barang yang terlarang.

Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum lagi mengeluarkan satu fatwa khusus ke atas penggunaan vape seperti yang telah dibuat ke atas rokok (1995) dan shisha (2013). Kenyataan umum bahawa vape adalah sama dengan rokok tidak memadai.


Ini kerana, amat mengejutkan kenyataan yang dikeluarkan semasa Konvensyen Vaporizer di Kuala Lumpur pada Jun lalu bahawa industri vape dan cecair berjumlah lebih setengah bilion ringgit, kedua terbesar di dunia setelah Amerika Syarikat, dan yang paling besar di Asia dengan jumlah pengguna vape mencapai lebih sejuta orang.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri hendaklah mengeluarkan fatwa khusus mengenai penggunaan vape. Pihak kerajaan pula hendaklah mengambil tindakan tegas ke atas penggunaan nikotin yang tidak terkawal dalam vape.

Pihak kerajaan juga perlu memperkenalkan satu undang-undang dan peraturan khusus berkenaan vape sebelum ia tidak lagi terkawal. Satu kempen secara besar-besaran seperti merokok perlu diadakan bagi membanteras amalan yang cukup berbahaya kepada kesihatan.

*PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia./Utusan