MENCARI hidangan halal di China kini bukan lagi satu masalah rumit. Walaupun jumlah umat Islam hanya dua peratus atau 26 juta daripada jumlah penduduk negara tembok besar itu tetapi penyebaran populasi Muslim itu kini telah mencakupi seluruh negara berkenaan.
Keadaan itu ditambah dengan usaha umat Islam China sendiri yang menjadikan hidangan tradisi mereka menepati ciri-ciri halal. Malah, terdapat juga restoran bukan Islam di negara itu yang bekerjasama dengan persatuan pengguna Islam dalam menyediakan hidangan halal sama ada untuk pelancong atau penduduk beragama Islam.
Perkara itu diakui oleh Dekan Universiti Shaan Xi Normal (China), Prof. Mohd. Ma Qiang sambil menambah, peningkatan tersebut kerana penyediaan makanan merupakan antara industri yang sangat berpotensi.
“Walaupun jumlah umat Islam di China hanya dua peratus sahaja, tetapi kepelbagaian etnik yang ada dalam komuniti Islam itu telah menyebabkan mereka bersaing memperkenalkan hidangan tradisi masing-masing.
“Ini bukan hidangan asal Muslim, tetapi telah diubah menjadi hidangan halal dengan menggunakan bahan mentah yang halal dan herba yang tiada pengaruh bahan haram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Isu Halal Di China dalam Seminar Antarabangsa Tentang Amalan Islam di China di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seminar sehari yang dianjurkan oleh APIUM itu turut membentangkan lapan kertas kerja mengenai amalan Islam di China.
Tambah Mohd., keprihatinan umat Islam di China terhadap kepentingan hidangan halal kerana ia amat berkaitan dengan soal akidah.
“Sikap memandang remeh terhadap hidangan halal akan menyebabkan seseorang Muslim itu secara perlahan-lahan akan melupai kepercayaan yang dipegangnya.
“Seorang pelancong tidak akan bermasalah untuk mencari makanan halal di China, tetapi jika bermastautin, anda perlu patuh kepada kehendak hidangan halal kerana jika tidak anda akan lupa kepada kepercayaan sendiri,” katanya.
Pegangan sedemikian telah mencetus semangat umat Islam di China untuk memperkenalkan hidangan tradisi etnik masing-masing yang menepati kehendak agama Islam.
Malah, dikatakan tidak semestinya hidangan atau masakan di satu bahagian di China boleh diterima secara terbuka oleh etnik China di bahagian lain.
“Kalau etnik di satu bahagian merasa kenyang bila memakan hidangan tradisi sendiri, tetapi itu tidak semestinya etnik di bahagian lain boleh merasa kenyang bila memakan hidangan tersebut,” katanya.
Masalah tiada pemantauan
Keghairahan menyediakan makanan halal di China bukanlah sesuatu yang melegakan jiwa seseorang Muslim bila berada di China atas pelbagai urusan. Hakikat yang perlu diakui adalah China bukan negara yang penduduknya majoriti Islam.
Ini kerana, negara yang berkiblatkan sistem Komunis itu tidak mempunyai satu undang-undang atau peraturan yang khusus berkaitan makanan dan minuman halal.
Ternyata dalam suasana itu, tidak dinafikan boleh mencetuskan konflik jiwa. Bukan hanya dalam kalangan penduduk Islam di China tetapi turut melibatkan pelancong Muslim.
“Ketiadaan undang-undang sedemikian menyebabkan tiadanya pihak berwajib yang diiktiraf oleh kerajaan untuk memantau aspek pematuhan halal tersebut,” kata Ketua Kluster Bahagian Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr. Lokman Abd. Rahman ketika membentangkan kertas kerja di Seminar Antarabangsa Tentang Amalan Islam di China itu.
Dengan kata lain, pematuhan halal bergantung kepada pemahaman individu atau persatuan agama Islam yang ada di negara tembok besar tersebut.
Keadaan itu mungkin menjadi bertambah sukar untuk dikawal kerana jumlah yang terlibat dalam industri halal negara tembok besar itu cukup ramai dan wujudnya peningkatan saban tahun.
Apa tidaknya, nilai pasaran halal China pada tahun 2012 melebihi AS$848 juta (RM3.6 bilion), khususnya dalam bidang makanan dan minuman. Nilai tersebut sudah pasti menarik minat individu atau organisasi bukan Islam.
Namun begitu, Lokman berkata, bagi menyelesaikan permasalahan itu, Jakim menjalinkan kerjasama dengan tiga buah persatuan agama Islam di China, iaitu Persatuan Islam Shandong, Persatuan Islam China (Beijing) dan ARA Halal Development Services Centre Inc. di Zhengzhou, Henan.
Ketiga-tiga persatuan itu perlu menghantar laporan tahunan yang lengkap kepada Jakim berhubung aktiviti pemantauan halal yang mereka laksanakan terhadap syarikat atau organisasi yang memiliki sijil halal daripada mereka.
Dalam masa sama, Jakim turut turun padang dengan melawat dan memeriksa operasi syarikat-syarikat yang memiliki sijil halal daripada tiga persatuan itu.
“Jakim hanya iktiraf sijil halal daripada tiga persatuan tersebut manakala yang lain itu, bukan tidak halal tetapi pematuhan halal mereka sukar untuk dikenal pasti,” katanya.
Sumber: Utusan