Cadangan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan oleh bekas Ahli Parlimen Sg. Benut, Johor dan Pengurus Besar Kumpulan Fleet, mendapat herdikan dan kritikan daripada banyak pihak, termasuklah daripada Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Perkasa mendesak Mohamad Tawfiq Tun Dr. Ismail, anak sulong bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman meminta maaf kepada Jakim dan umat Islam seluruh negara. Komen tersebut dianggap tidak sopan memandangkan penubuhan Jakim adalah selaras dengan Perlembagaan dan disyorkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada 17 Oktober 1968.
Ertinya, penubuhan Jakim bukanlah satu tindakan yang bercanggah dengan peranan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu. Sebaliknya, Jakim menjadi badan kerajaan yang berperanan menyelaraskan pentadbiran agama Islam di seluruh negara. Tidak ada kontradiksi dengan kedudukan Yang di-Pertua Agong sebagai payung kepada agama Islam di peringkat Persekutuan dan Raja-Raja Melayu di peringkat negeri.
Jakim ditubuhkan 1 Julai 1969 sebagai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Semenanjung Malaysia. Apabila Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia, badan penyelaras agama Islam itu ditukarkan nama kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 17 Jun 1971.
Bagi melancarkan pentadbiran agama Islam, termasuk hal ehwal orang Islam, setiap negeri menubuhkan Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing. Penubuhan itu tidak bercanggah dengan perlembagaan dan mencacatkan segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua Agama Islam.
Ia menjadi pelengkap dan pelaksana sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(3) dan 3(5) Perlembagaan Persekutuan. (Jakim 4 Dekad: Memacu Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam, 2012, hal.3).
Dakwaan bahawa peranan Jakim bertindih dengan peranan Ketua Agama Islam oleh ahli kumpulan G25 itu hanyalah dongengan daripada seseorang yang agak berjauhan dengan struktur dan organisasi Islam yang ada dalam negara.
Tawfiq nampaknya sedang berleter seperti orang yang marahkan nyamuk lalu mahu dibakarnya kelambu, walhal suatu masa nanti memerlukan organisasi seumpama Jakim untuk mempertahankan Islam. Tanpa Jakim, kemajuan dan pembangunan institusi Islam tidak akan terhasil sebagaimana dapat dilihat sekarang, daripada pembinaan masjid, sekolah-sekolah agama, perundangan dan badan kehakiman syariah, pengurusan tanda halal, pungutan zakat dan pusat rawatan Islam.
Jakim menjadi sebuah organisasi penyelarasan dan advokasi Islam yang rasmi. Mungkin dari sudut itu menyebabkan Tawfik keliru, tidak dapat memisahkan peranan sebagai “pengawasan”, “penguatkuasaan” dan perundingan. Islam itu luas.
Mencakupi soal ibadat dan bermuamalat. Tentunya, dalam soal-soal bermualamat telah menimbulkan pertentangan kerana konteks Islam adalah berbeza dengan anutan mereka yang berfikiran kebaratan dan terpisah daripada bingkai agama.
Mungkin dalam pelaksanaannya, Jakim banyak kelemahan. Kelemahan-kelemahan itu tidak boleh dilihat seperti “membakar kelambu” sebaliknya dalam semangat kerjasama membangunkan peradaban Islam, “nyamuk-nyamuk” itu perlu dihalau kalaupun tak mampu dihapuskan. Kelambu yang bocor masih boleh dibaiki atau dijahit mana-mana bahagian yang dilihat koyak.
Warren Buffet, seorang ahli perniagaan tersohor Amerika Syarikat pernah berkata: “Untuk membina reputasi, memerlukan masa selama dua puluh tahun. Untuk meruntuhkan reputasi, ia hanya memerlukan masa selama lima minit.”
Ertinya, untuk menjadikan sesuatu perkara menjadi elok bukan boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat, manusia tidak mempunyai kuasa ajaib seperti mitos lampu Aladin mahupun sentuhan emas (midas touch), ia dibangunkan secara berterusan dan berperingkat-peringkat.
Manusia, naluri dan keinginannya berada pada tahap optimum di peringkat permulaan. Setelah mencapai tahap tertentu, kekuatannya semakin menurun terutama apabila semakin berusaha. Sebab itulah dalam mana-mana organisasi, ia memerlukan proses peremajaan dan transformasi. Perubahan amat penting, tetapi perubahan yang lebih baik ialah berlaku dari dalam, bukannya hanya sekadar kosmetik atau luaran.
Kecepatan bertindak
Mungkin perubahan dari dalam, termasuk paradigma itulah yang masih lemah daripada Jakim. Sebahagian besar pentadbir dan kakitangan Jakim enggan keluar daripada zon selesa dan etos kerja 'tunggu dan lihat' sedangkan persekitaran budaya memerlukan kecepatan bertindak dan melaksanakan setiap keputusan.
Tindakan Jakim terhadap sesuatu isu yang berkaitan dengan hal ehwal Islam dilihat semakin lambat sehingga tertinggal kereta api yang semakin maju teknologi dan cepat bergerak. Misalnya, untuk mengupas sesuatu isu yang mempengaruhi umat Islam.
Jakim begitu lambat untuk membahas, mengupas dan seterusnya mematahkan maklumat dengan cepat, tepat dan tangkas termasuklah isu penularan fahaman Syiah. Kenapa Syiah diharamkan. Terasa penjelasan yang dibuat terlalu lambat dan penjelasannya tidak memadai untuk meyakinkan orang ramai.
Setiap pertembungan idea, yang membawa kepada ideologi perlu dijelaskan secara ilmiah dan bersesuaian, kalaupun Jakim mahu akidah umat Islam tidak terpesong. Hingga kini, Jakim belum berjaya dalam mempertahankan keabsahan nilai ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pemikiran masyarakat Islam.
Setiap kali persoalan makanan halal dibentangkan, Jakim hanya gemar menceritakan apa yang sudah dibuatnya. Ini dapat dilihat, setiap kali menjelang bulan puasa, Jakim dibebankan dengan kegelisahan awam mengenai bufet Ramadan yang ditawarkan oleh restoran dan hotel ternama.
Begitu juga dengan pelaksanaan undang-undang Syariah. Usaha Jakim meletakkan syarat bagi menguruskan hal ehwal perkahwinan, seperti setiap pasangan wajib menjalani kursus praperkahwinan awalnya dipuji, tapi modul tersebut belum cukup untuk membangunkan sebuah rumah tangga yang bahagia.
Sebab itulah kadar penceraian dalam kalangan pasangan Islam semakin mencemaskan, didominasi oleh faktor kurang persefahaman. Sepatutnya, Jakim menggubal kurikulum yang lebih mendekati kepada persoalan budaya hidup berkeluarga, bukannya bersifat retorik dan teori.
Semuanya memerlukan setiap kakitangan Jakim menukarkan etos kerja dan cara bertindak, bukannya sekadar lafazan “insya-Allah”. Lafazan itu lebih banyak berkonotasi negatif kerana tidak disusuli tindakan bersungguh-sungguh dan tekad yang kuat.
Kelemahan-kelemahan itulah perlu diatasi bagi menampalkan kelambu Jakim yang sedang dilihat bocor dan boleh dimasuki nyamuk.
Janganlah Jakim hanyut dalam kebanjiran isu dan lemas memikirkan apa tindakan yang boleh menangkis dan memperbetulkan persepsi umat Islam. Islam semakin kuat diasak dan umat Islam semakin bersimpang-siur.
Jakim bertanggungjawab untuk membantu, menyelaras dan menukarkan persepsi kepada realiti, kerana Islam itu adalah cara hidup yang sempurna dan menuju kerahmatan.
* Mohd Shauki Abd Majid, Penulis ialah Setiausaha Analisis Dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)/Utusan