#Islam: Jihad Itu Bukan Hanya Berperang, Islam Tidak Ajar Keganasan


DASAR utama yang diperjuangkan oleh Islam adalah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukan ajaran Islam.

Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahte­raan abadi untuk sekalian alam. Perkataan Islam berasal da­ripada bahasa Arab yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai.

Oleh yang demikian, jangan sebab segelintir orang Islam melakukan jenayah, seluruh umat Islam dilabel sebagai pengganas, pemberontak dan pelbagai gelaran antagonis. Penganut agama lain turut melakukan jenayah, pembunuhan dan kekejaman.

Namun akibat prejudis dan double standard terutama­nya media Barat, insiden yang kononnya dilakukan oleh orang Islam pantas dijaja dan dikaitkan dengan keganasan. Sehinggakan tindakan penduduk Palestin yang menjadi pengebom berani mati sebagai salah satu cara mempertahankan negara dan agama juga digelar pengganas oleh media Barat.

Padahal media dan masyarakat dunia menyaksikan bagaimana kejam dan zalimnya rejim zionis. Mereka bukan sahaja membunuh rakyat Palestin tetapi merampas tanah dan rumah, mengebom kediaman orang awam, memenjarakan kanak-kanak dan melakukan macam-macam lagi jenayah.

Sebab itu, dalam insiden serangan di Paris pada 13 November lalu umat Islam seluruh dunia turut sama mengutuk dan mengecam tindakan tersebut. Ini bukan cara yang diajar oleh Islam walau atas apa alasan sekalipun termasuk jika ada yang mengaitkannya dengan jihad. Orang yang melakukan serangan sedemikian mungkin muslim tetapi mereka bukan mukmin.

Jihad adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud berusaha keras dan bersungguh-sungguh dalam me­lakukan sesuatu.


Secara keseluruhan jihad bererti mencurahkan kemampuan dan kekuatan dengan ‘berperang’ di jalan Allah SWT dengan jiwa, harta dan lisan. Ia bertujuan memakmurkan bumi dengan syariat Allah SWT. Namun, masyarakat masa kini sering mengaitkan jihad sebagai ‘mengangkat senjata’ atau berperang.

Umat Islam dibenarkan berperang hanya selepas mereka ditindas dengan kekerasan dan diserang oleh musuh Islam iaitu kafir Qurasiy sebagaimana yang menimpa Nabi SAW semasa Baginda di Mekah. Ekoran itu, Allah menurunkan ayatnya yang bermaksud:
"Telah diperkenankan untuk meng­angkat senjata bagi mereka yang telah diperangi, disebabkan mereka telah diperlakukan dengan aniaya dan sesungguhnya Allah berkuasa menolong mereka. (al-Hajj: 39)
Para ulama sependapat ini adalah ayat pertama yang memberi izin kepada umat Islam mengangkat senjata mempertahankan diri mereka. Namun, umat Islam hanya boleh mengangkat senjata untuk membela diri terhadap mereka yang terlebih dahulu menyerang dan hanya jika umat Muslim memang tertindas dan teraniaya.

Hal inilah yang menjadi inti pati penting dalam jihad Islamiah yang banyak di­salah-ertikan sekarang.

Islam tidak memerintahkan umatnya memerangi semua orang yang tidak menerima dakwahnya. Jika mereka sudi hidup berbaik-baik dengan orang Islam, maka mereka akan diberi hak dan tanggungjawab sama seperti yang diperoleh oleh umat Islam yang lain.

Ini dibuktikan oleh Islam sepanjang sejarah pemerintahan dan kekuasaannya dahulu. Malah tercatat dalam sejarah Islam lampau bahawa kementerian tertentu di bawah kekuasaan Islam diketuai oleh orang bukan Islam yang mahir dalam bidang yang berkenaan.


Tindakan segelintir orang Islam seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) yang didakwa mencetuskan keganasan di beberapa lokasi termasuk di Paris minggu lalu tidak mewakili umat Islam secara keseluruhan. Sebaliknya ia memberi persepsi yang salah tentang agama Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke sekelian alam.

Perbuatan itu juga menjejaskan peluang ribuan pela­rian Islam dari Syria untuk mendapat perlindungan sementara di negara-negara Eropah berikutan krisis yang berlaku di negara tersebut.

Menyebar dan mencetus keganasan atas nama jihad adalah suatu kesilapan. Bentuk jihad untuk menghadapi golongan kafir adalah bergantung kepada keadaan. Islam bukanlah agama yang keras dan kaku. Ia memandu umatnya supaya bertindak sesuai dengan situasi serta kemampuan yang ada.

Sumber: Utusan