SERANGAN bom oleh kumpulan teroris di Paris berulang lagi. Kali ini korbannya begitu besar sehingga meragut lebih 128 jiwa. Insiden ini amat mengejutkan warga Perancis yang belum pun pulih dari memori hitam serangan ganas terhadap Charlie Hebdo yang mengorbankan 11 jiwa, awal tahun ini. Imej Islam terus tercalar teruk.
Selepas ini, masih adakah warga Eropah yang memandang Islam sebagai agama perdamaian? Ketika masyarakat awam Barat semakin mencemuh Islam, kita berharap masih ramai insan terdidik di sana yang dapat memahami bahawa insiden serangan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan sama sekali dengan ajaran Islam yang sebenar.
Tidak ada insan berakal dan berbudaya yang boleh menerima serangan gila sebegini. Apa lagi dilakukan atas nama agama dan menghalalkan pembunuhan orang yang tidak bersalah ketika mereka sedang santai menonton bola sepak dan teater bersama ahli keluarga dan teman.
Kita juga berharap para pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak menjadikan insiden ini sebagai alasan untuk melancarkan serangan yang lebih menggila di Syria bagi memporak-perandakan Asia Barat. Bumi Syria kini menjadi medan tempur dan pentas adu kekuatan negara-negara kuasa besar Amerika, Britain, Perancis, Rusia dan China.
Gerakan teroris Muslim muncul beriringan dengan jatuhnya bekas Soviet Union yang menamatkan percaturan politik dwi-polar era Perang Dingin. Rusia dan China, dua kuasa besar komunis setelah itu secara bertahap mulai membuka pasaran bagi mengimbangi arus kapitalisme yang menjalar pantas dan rakus di setiap belahan bumi.
Idea kesamarataan komuniti ala-komunis yang dangkal terbukti gagal menandingi hak dan impian pemilikan harta individu kapitalis yang bebas dan bernafsu. Revolusi Iran 1979 cuba menampilkan Islam sebagai alternatif baru sistem politik dan ekonomi manusia, khususnya bagi umat Muslim.
Namun, Iran sendiri akhirnya turut terhimpit dalam pertarungan politik pasca perang dingin di antara Amerika-Barat dengan Rusia-China yang berlumba merebut sumber ekonomi dan pasaran dunia yang semakin mengecil. Iran dilihat lebih intim dengan Rusia dan China. Iran yang identik dengan Syiah dilihat sebagai ancaman kepada Arab Saudi, sekutu Amerika Syarikat yang menganut mazhab Wahabi.
Majoriti negara Arab dan Islam lain mengamalkan mazhab Ahlussunnah wal Jamaah tidak menerima fahaman Syiah anutan Iran atau Wahabi anutan Arab Saudi yang saling bersaing untuk menjuarai politik Islam dunia, khususnya di Asia Barat.
Pada hari ini aktiviti teroris Muslim tidak boleh dipisahkan dengan krisis yang melanda Asia Barat. Perang berpanjangan di Syria dan Iraq sekarang tidak mudah untuk dikendurkan. Ini kerana krisis itu melibatkan campur tangan langsung kuasa-kuasa besar dunia yang berkepentingan. Lebih malang lagi, ia turut dipanaskan oleh perseteruan berzaman Sunni-Syiah yang berapi. Selain Syria dan Iraq yang menjadi pangkalan militan IS (Islamic State), Yaman kini turut terjebak dalam kancah peperangan.
Apakah selepas ini perang akan merebak ke bumi Mekah dan Madinah, dua kota suci umat Islam? IS pernah membuat kenyataan terbuka untuk menawan Mekah. Iran juga didakwa mempunyai program sendiri untuk membebaskan Mekah. Mekah menjadi kota rebutan kerana sesiapa yang menguasainya akan menguasai dunia Muslim.
IS sudah pun mengisytiharkan mereka bertanggungjawab melakukan serangan di Paris. Perancis dihukum kerana terlibat dalam pengeboman udara ke atas kubu IS di Syria dan Iraq. Paris juga dihukum kerana menjadi kota persundalan.
Bagaimanapun kenyataan IS ini dianggap terlalu awal dan sedikit janggal oleh sesetengah pihak. Ini kerana ia tidak disertai butiran seperti biografi penyerang yang dijulang sebagai “syahid” sepertimana yang lazim dilakukan oleh kumpulan teroris. Seorang saksi yang berada di tempat kejadian melaporkan dia mendengar penyerang melaungkan “Allahu Akbar!”.
Presiden Obama menyifatkan insiden itu bukan sahaja sebagai serangan terhadap Paris, malah serangan terhadap kemanusiaan. Tidak kurang pula yang mengulas insiden serangan ini, seperti juga kes Charlie Hebdo dan 11 September sebagai perancangan dan perbuatan false flag (tangan ghaib) pihak-pihak yang berkepentingan.
Ironinya, siapa pun yang melakukan serangan tersebut, imej Islam di mata Barat yang sudah pun terjejas teruk akan menjadi lebih buruk. Islam dipandang sebagai musuh kemanusiaan dan anti peradaban moden. Insiden ini sudah pasti akan menyemarakkan lagi kebencian warga Kristian di Barat terhadap Islam.
Kita merasa amat bimbang sekiranya warga minoriti dan ribuan imigran Muslim yang bergelandangan di sana menjadi sasaran reaksi marah golongan fanatik. Apakah yang mampu ditawarkan oleh Malaysia selaku negara Islam yang berfahaman sederhana dalam situasi tegang ini? Situasi Islam di Malaysia amat berbeza dengan Islam di Asia Barat yang tidak stabil dan sentiasa bergolak. Kita bersyukur kerana insiden berbalas serangan bom berani mati yang mengorbankan sesama Islam tidak pernah berlaku di sini.
Perang antara mazhab dan antara agama juga tidak pernah berlaku di sini. Realiti dan sejarah penyebaran Islam di Malaysia amat berbeza dengan negara Islam lain di Asia Barat, Eropah, Afrika Utara dan Asia Tengah yang sering dikaitkan dengan perang dan pedang. Islam di Malaysia sebaliknya tersebar secara aman dan diterima oleh bangsa Melayu dengan rela hati.
Umat Islam di Malaysia yang berpegang dengan mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah dikenali dengan sikap sederhana, terbuka dan menghormati perbezaan agama. Islam di Malaysia boleh hidup bersama dengan penganut agama lain dengan aman dan damai.
Aktivis Muslim di sini tidak perlu terikut-ikut dengan gaya dan pembawaan Islam di Asia Barat yang amat berbeza dengan realiti demografik masyarakat majmuk di sini. Malaysia perlu bertindak tegas bagi mengekang pengaruh aliran Islam yang keras dan fanatik dari tersebar di sini.
Malaysia juga harus lebih giat memelihara dan mempromosi identiti Islam sederhana dan damai yang dimilikinya ke negara Islam dan dunia sebagai sumbangan untuk membina bumi yang adil, aman dan makmur.
*MUSTAFFA KAMAL ALIAS, PENULIS ialah seorang perunding media dan penulis bebas yang berkelulusan Sarjana Sosiologi, Universiti Leeds, United Kingdom/ Utusan