#Islam: Pintu Taubat Allah Sentiasa Terbuka Untuk Perbaiki Diri


Kitab 50 Wasiat Rasulullah SAW Untuk Wanita, dinyatakan Allah SWT menciptakan syurga supaya ada penghuni, bukan untuk dibiarkan kosong. Dalam erti kata lain, Allah SWT menciptakan syurga untuk dihuni oleh Mukmin yang taat kepada segala perintah-Nya. 

Orang yang beriman kepada Allah SWT akan dibangkitkan di Hari Akhirat kelak dalam keadaan wajah berseri-seri dan gembira seperti digambarkan dalam al-Quran melalui firman yang bermaksud: 
"Pada Hari Akhirat itu, muka (orang yang beriman) berseri-seri." (Surah al-Qiyamah, ayat 22)
Melalui rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiaran setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustazah Muzayannah Abdullah, berkata alangkah bahagianya orang Mukmin kerana setiap daripada mereka layak untuk mendapat ganjaran syurga Allah SWT. 

Maha Besar Allah yang Maha Pengasih sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya terhadap hamba yang mengakui kekhilafan dan berusaha memperbaiki kesilapan itu. Sebesar mana sekalipun dosa dilakukan seseorang manusia, Allah SWT sentiasa memberi ruang mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. 

Walaupun demikian, Allah SWT juga menyebut dalam al-Quran kisah Abu Lahab yang dikecualikan daripada menghuni syurga Allah SWT atas perbuatannya menentang agama Islam. Perkara itu dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita dibakar api neraka yang marak menjulang dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali yang dipintal." (Surah al-Masad, ayat 1-5) 
Reda hadapi ujian Walaupun kehidupan di dunia ini dirundung dengan pelbagai kesedihan, kepahitan dan ujian yang menyakitkan hati, seorang Mukmin itu harus ingat serta tanamkan dalam diri bahawa penderitaan dilalui tidak akan selama-lamanya begitu. 

Sebesar manapun ujian itu, Allah SWT pasti akan menggantikannya dengan ganjaran pahala yang membolehkan manusia itu mendiami syurga-Nya. Sesungguhnya setiap manusia layak untuk mendiami syurga yang maha hebat dan luar biasa nikmatnya. 

Di dalam syurga Allah SWT menggambarkan tidak akan ada lagi kesedihan atau kepahitan kerana syurga adalah tempat untuk manusia menikmati segala keseronokan serta kegembiraan. 

Oleh itu, biarpun manusia pernah menempuh jalan gelap dalam hidupnya, jangan malu untuk kembali mengetuk pintu taubat kerana Allah SWT tidak pernah menolak keampunan daripada hamba-Nya. Bahkan, bertaubat dengan penuh penyesalan adalah perbuatan yang sangat disenangi-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
"Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal salih, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat yang sebenar-benarnya." (Surah al-Furqan, ayat 71)
 Lapangkan hati dengan zikrullah, lembutkan sanubari dengan istighfar dan tenangkan jiwa dengan selawat ke atas Nabi SAW, nescaya menjadi kunci bagi hati manusia yang sentiasa mengharap pandangan Allah SWT. 

Manusia yang selalu dekat dengan Allah SWT akan sentiasa berada di bawah pengawasan-Nya, justeru akan jauh dari sebarang perbuatan membawa kepada kemaksiatan. Jika manusia tahu wujudnya syurga yang diciptakan untuk dihuni mereka di kampung akhirat, mengapa tidak berusaha untuk mengejarnya. 

Syurga adalah satu bentuk motivasi untuk terus bertahan dari sebarang kesedihan. Malah, wajah syurga itu ada bagi setiap Muslim yang reda dengan ketentuan-Nya. Didiklah hati dengan meneladani kisah sahabat yang mengejar cinta Allah SWT sehingga dunia ini hanya sekadar laluan menuju ke perkampungan akhirat. 

Turuti akhlak Nabi Muhammad SAW yang hanya menumpahkan segala cinta kepada Allah SWT. Mujahadah bina kekuatan rohani Malah, setiap layanan buruk manusia kepada Baginda dibalas dengan kemaafan tanpa ada sekelumit dendam di hati kerana yang diharap adalah ganjaran syurga penuh nikmat oleh Allah SWT. 

Sebagai manusia yang pastinya tidak terlepas daripada pelbagai ujian, manusia harus sentiasa bermujahadah untuk membina kekuatan kerohanian dalam berdepan cabaran kehidupan.

 Allah SWT sangat cinta pada hamba-Nya yang sabar dan solat di saat berdepan cubaan hidup. Manusia yang bermatlamat akhirat dan hanya memandang reda Allah SWT secara sendirinya akan mendapat penghormatan dalam kalangan manusia. 

Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah membiarkan manusia yang berusaha mencari keredaan-Nya terus berada dalam kesulitan melainkan diberi jalan mendapat rahmat Allah SWT. Ulama menyebut, dunia ini penuh helah dan tipu daya syaitan. 

Kenikmatan dunia bukan sesuatu yang abadi, begitu juga penderitaan hidup yang dihadapi apabila tiba waktunya akan berakhir juga. Oleh itu, jangan sekali menyerahkan hidup kepada permainan dunia yang tidak kekal selama-lamanya. Sebaliknya, dunia ini hanya dijadikan jambatan untuk menempah tiket syurga di akhirat nanti. 

Seorang Mukmin yang bijak sentiasa mencatur hidupnya dengan meletakkan syurga sebagai matlamat utama. Bagi hati yang menggenggam cinta Allah SWT melihat kepahitan dan kesulitan sebagai perencah hidup yang akan mendekatkannya dengan Allah SWT manakala nikmat kurniaan Allah SWT dilihat sebagai kekuasaan-Nya untuk manusia mensyukurinya.

Sumber: Berita Harian