#Islam: Pusat Pungutan Zakat Tidak Pernah Sunyi Dipertikai Masyarakat

Gambar Hiasan
TIDAK pernah sunyi daripada menjadi pertikaian ramai, pusat pungutan zakat terus dihujani dengan pelbagai tanggapan negatif masyarakat termasuk daripada umat Islam sendiri.

Sehinggakan ada melabelkan institusi yang bertanggungjawab mengumpul dan mengagihkan wang zakat itu sebagai menyeleweng dan tidak peka dalam membantu golongan yang memerlukan.

Sehubungan itu, bagi menguar-uarkan kejayaan hasil kutipan zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini mengadakan program Jalinan Kasih Bersama Asnaf 2015 (Zikra).

Program itu bertujuan mendedahkan pembayar zakat terhadap aktiviti agihan zakat secara langsung kepada asnaf, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat di Selangor.

Pada program itu, peserta dibawa ke sekitar Klang dan Kuala Selangor bagi menziarahi serta melihat aktiviti asnaf LZS yang telah menerima bantuan zakat.

Berbeza dengan penganjuran Zikra sebelum ini, program kali ini membawa peserta selama dua hari bagi membolehkan mereka mendekati asnaf zakat, dalam masa sama menyelami realiti kehidupan golongan kurang berkemampuan itu.

Antara lokasi yang dikunjungi pada program itu termasuk Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, Bait al-Mawaddah, Kompleks Asrama Anak-anak Asnaf, Bait al-Hasanah, Pusat Dialisis LZS, dan bertemu penerima bantuan modal daripada LZS.

Bait al-Mawaddah ditubuhkan sebagai pusat perlindungan bagi warga emas yang tidak mempunyai tempat tinggal, manakala Bait al-Hasanah bertujuan menyediakan prasarana pendidikan kepada anak-anak asnaf dalam persekitaran yang selesa, di samping mengelakkan daripada keciciran.

Peserta turut dibawa melihat sendiri agihan zakat LZS kepada projek ekonomi asnaf yang mengusahakan kebun limau, serahan bantuan zakat kepada asnaf dan juga kunjungan ke kedai cendol yang diusahakan oleh usahawan asnaf zakat, Muhammad Burhan Salikon yang kini telah bebas daripada kategori asnaf.

Sumber: Utusan