Israel Laknatullah Enggan Serah Mayat Rakyat Palestin Mereka Bunuh

PENDUDUK Palestin mengucapkan selamat tinggal kepada Muhammed Shamasne di majlis pengebumiannya di barat Baitulmaqdis, semalam, tanpa menghiraukan ancaman Israel supaya majlis pengebumian itu diadakan secara sederhana atau waktu malam.
Baitulmaqdis - Israel enggan menyerahkan mayat penduduk Palestin yang dibunuh polis dan tenteranya sepanjang keganasan sebulan lalu kecuali upacara pengebumian diadakan dalam suasana ‘sederhana.’

Perkara itu dinyatakan menteri pertahanan rejim berkenaan Moshe Yalon.

Sekurang-kurangnya 67 warga Palestin terbunuh akibat ditembak polis dan tentera Israel sejak 1 Oktober lalu, sebahagiannya didakwa kerana melakukan serangan menggunakan pisau sementara yang lain ditembak ketika tunjuk perasaan anti-Israel.

Israel yang sejak dulu menahan mayat pejuang Palestin sebagai tindakan menghukum atau untuk menukar dengan mayat askarnya, menyerahkan lapan mayat warga Palestin untuk dikebumikan minggu lalu.

Pemerhati Palestin berkata, rejim itu masih menahan 21 mayat lagi.

Yaalon memberitahu wartawan semalam, rejim itu mengkaji semula tindakan menyerahkan mayat berkenaan selepas bimbang majlis pengebumian yang diadakan rakyat Palestin mencetuskan ancaman keselamatan dan meningkatkan sentimen anti-Israel.

Dia merujuk kepada pengebumian lima penduduk Palestin di Hebron Sabtu lalu yang dihadiri puluhan ribu penduduk, termasuk pegawai Palestin.

“Jika keluarga si mati berjanji mengadakan majlis pengebumian secara sederhana atau diadakan pada waktu malam, kami akan menyerahkan mayat itu kepada mereka. Jika tidak, kami menahan mayat itu atau kami yang akan mengebumikan mayat itu,” kata Yaalon.

Sementara itu, pentadbiran Presiden Mahmoud Abbas menyangkal bersetuju dengan syarat ditetapkan rejim Zionis itu. -Reuters