Isteri Maut, Suami Parah Digilis Treler Di Batu Uban

Seorang wanita yang membonceng motosikal suaminya maut setelah digilis tayar sebuah treler di Jalan Sultan Azlan Shah hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGETOWN – Seorang wanita warga emas maut selepas digilis treler di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Azlan Shah, Batu Uban di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa Ching Kim Hiang, 72, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya dilaporkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan dan kaki.

Suami mangsa, Yeap Hun Cheng, 78, pula cedera parah akibat kemalangan itu. Difahamkan pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Desa Relau, dekat sini.

Pegawai Trafik Kontijen Pulau Pinang DSP Tan Boon Hooi berkata kemalangan itu berlaku apabila treler yang dipandu lelaki berusia 35 tahun itu cuba memotong motosikal dinaiki pasangan berkenaan ketika hampir sampai di lampu isyarat terbabit.

“Treler itu dipercayai telah bergesel dengan motosikal berkenaan sebelum pasangan terbabit terjatuh dan diseret kira-kira 53 meter dan digilis kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tan berkata semasa kejadian kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama dan menghala ke Bayan Baru.

Katanya pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia ditahan untuk siasatan lanjut termasuk menjalani ujian air kencing.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala suaminya dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut, katanya.

Kesesakan lalulintas berlaku berikutan sebuah bas ekspress dari arah Jambatan Pulau Pinang menghala ke Terminal Sungai Nibong terbabas di pembahagi jalan antara Bayan Lepas dan Gelugor awal pagi tadi. – Foto BERNAMA
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tan berkata seorang pemandu bas ekspres berusia 40 tahun cedera selepas bas yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di antara pembahagi jalan di susur Jambatan Pulau Pinang menghala ke Bayan Lepas, di sini hari ini.

Katanya semasa kemalangan kira-kira pukul 6.20 pagi, bas ekspres yang membawa kira-kira 30 penumpang dari Kuala Lumpur itu sedang menghala ke Terminal Bas Sungai Nibong, di sini.

“Hanya pemandu bas mengalami kecederaan iaitu luka di muka dan hidung manakala semua penumpang tidak cedera. Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan teruk sepanjang dua kilometer,” katanya. – BERNAMA