Isu VAPE: Peniaga Cecair Vape Lelong, Jualan Penghabisan Stok

Gambar Hiasan
ISU "vape" menjadi panas apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan operasi besar-besaran dengan merampas dan menyita barangan vape termasuk cecair perisa nikotin di seluruh negara.

Susulan mengenai keputusan berkenaan, sesetengah peniaga vape di Shah Alam mengambil tindakan drastik dengan menjalankan jualan ‘penghabisan stok’ perisa rokok elektronik itu.

Bayangkanlah harga seunit perisa dijual pada kadar yang begitu murah, iaitu hanya satu pertiga daripada harga asal jualan.

Menurut penjual perasa vape, Mohd. Adha Bin Mohd Zuhdi, 32 tahun, dia tidak boleh menerima kewajaran KKM bertindak sedemikian kerana masih belum terbukti rokok elektronik dan vape memberi kesan kepada kesihatan.

“Saya sendiri sebelum ini merupakan perokok tegar, namun setelah saya mencuba vape kira-kira dua tahun lepas iaitu selepas daripada bulan puasa, saya merasa semakin sihat.

“Tubuh lebih bertenaga disebabkan vape tidak mempunyai bahan kimia tar berbanding rokok biasa,” ujarnya.

Adha juga merasakan jika isu penjualan perisa vape yang mengandungi nikotin bakal dikenakan permit, beliau sedia untuk menerima pelaksanaan peraturan tersebut.

“Jika akan dikenakan cukai, kita ikut je lah, tapi harga jualan tu mungkin akan dirujuk balik disebabkan cukai yang dikenakan akan mempengaruhi kos modal,” katanya.

Manakala seorang lagi penjual perisa vape, Rizal Bin Karim, 32 tahun; menyifatkan kerajaan tidak seharusnya mengharamkan penjualan vape kerana sehingga kini masih tiada bukti kesan sampingan akibat bahan nikotin yang terkandung di dalamnya.

“Daripada kita merokok, lebih baik kita menggunakan vape, nisbah penggunaan nikotin yang amat kecil di dalam sebotol perisa vape adalah sangat rendah berbanding sebatang rokok yang mempunyai kadar nikotin yang tinggi. So mana lagi ok?,” katanya.


Ditanya mengenai hala tuju selepas tindakan pihak KKM menyita produk vape, beliau masih tidak mempunyai perancangan sama ada mahu meneruskan atau menjalankan perniagaan lain.

“Disebabkan tindakan KKM dah ‘tarik semua’, kami pun masih tidak tahu lagi ke mana arah tuju selepas ini, macam sekarang ni, kami cuma clear kan stok sahaja takut jika disimpan, kerajaan akan ambush kami pula,” katanya. -Kedahnews.com