Isunya Bukan Vape, Tapi Racun Kandungan Vape - Subramaniame-

Gambar Hiasan
PETALING JAYA – Menteri Kesihatan Datuk Dr S Subramaniam berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengendalikan isu berkaitan e-rokok yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ia dianggotai antaranya, wakil Bahagian Kawalan Penyakit, wakil bahagian Kesihatan Am dan pakar-pakar berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran program Gotong Royong Mega Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata mulai hari ini, sebarang kenyataan mengenai e-rokok akan dikeluarkan oleh jawatankuasa khas berkenaan dan beliau tidak akan lagi menjawab isu tersebut.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata jawatankuasa berkenaan akan mula bermesyuarat esok, bagi menentukan keputusan mengenai isu e-rokok.

Beliau berkata anggota jawatankuasa akan meneliti segala aspek secara lebih mendalam termasuk isu yang melibatkan perdebatan dengan peniaga vape.

Beliau berkata buat permulaannya, perbincangan akan diadakan dengan pihak dalam kementerian sebelum melibatkan pihak berkepentingan dalam industri.

“Kementerian Kesihatan akan menangani situ vape ini…apa yang kita boleh buat apa yang tak boleh buat,” katanya.

Menjawab persoalan hanya ahli farmasi yang boleh menjual cecair vape yang mengandungi nikotin, beliau berkata ia adalah bertentangan dengan etika kesihatan.

“Ini adalah berkaitan dengan soal kesihatan. Tanggungjawab kita untuk pastikan kesihatan awam tidak terjejas, jadi bagaimana kita boleh menjual barangan yang boleh jejaskan kesihatan,” katanya.

Kementerian Kesihatan, pada Khamis memulakan operasi merampas cecair vape yang mengandungi nikotin.

Operasi merampas produk yang mengandungi nikotin dijalankan mengikut Akta Racun 1952 (semakan 1989) dan Akta Makanan 1983.

Mengikut akta, nikotin dikategorikan dalam racun Kumpulan C dan mereka yang mengilang, mengedar dan menjual perlu mempunyai lesen.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menafikan tindakan rampasan itu dibuat kerana tekanan daripada pengusaha tembakau, sebaliknya katanya ia demi melaksanakan tanggungjawab menjaga kesihatan awam.

“Isunya bukan vape tetapi racun, kandungan vape. Apa yang kami utamakan ialah keselamatan, ambil banyak ke, sikit ke, ia boleh beri kesan dalam jangka panjang…kalau kami tidak bertindak, maka siapa lagi yang akan bertindak,” tegas beliau. – BERNAMA