Ito Blues Gang |
Ito atau nama sebenarnya Mohd. Arif Kendut, 64, bagaimanapun terpaksa akur memandangkan perjanjian asal dengan pihak produksinya, Les Copaque ialah, dia hanya mendapat wang hasil ciptaannya secara sekali gus serta sebahagian wang daripada penjualan album sahaja.
"Mengikut kata pihak produksi, saya tidak dapat royalti kerana lagu berkenaan tidak dimainkan di radio. Hasil penjualan album pun susah untuk diperoleh memandangkan cetak rompak turut berleluasa.
"Jadi saya pun tak tahu nak salahkan siapa kerana tidak tahu punca sebenar.
"Cuma saya terkilan dengan keadaan. Dua lagu tersebut begitu popular sehingga animasi itu dikenali hampir ke seluruh dunia, tetapi hasil royalti karya saya langsung saya tak dapat," katanya kepada mStar Online.
Tambah Ito, bagaimanapun dia tidak menyalahkan pihak produksi sebaliknya bersyukur kerana diberi peluang menghasilkan lagu bagi animasi popular tersebut. Lagu Damai dan Indahnya Panorama telah dihasilkan Ito sekitar tahun 2007.
Sementara itu, mengenai perkembangan lain, Ito turut meluahkan rasa syukur kerana walaupun rakan seperjuangannya tidak ramai yang dapat bertahan dalam industri muzik, dia masih lagi mampu menjadikan kerja nyanyian sebagai sumber pendapatan utamanya.
Kata Ito, sehingga kini dia masih lagi menerima tawaran nyanyian tidak kira dari pihak sekolah-sekolah sehingga ke syarikat korporat.
"Alhamdulillah, saya tidak membuat kerja lain selain menyanyi. Ini adalah punca utama rezeki saya.
"Mungkin saya tidak banyak keluar di televisyen, tetapi saya masih mendapat jemputan nyanyian daripada pelbagai golongan. Dan saya pun tak demand, menyanyi di sekolah pun saya terima," tuturnya.
Sumber: mStar