Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menegaskan bahawa jabatan itu tidak pernah mengeluarkan logo halal kepada mana-mana produk makanan yang disahkan haram.
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata siasatan telah dijalankan berikutan penyebaran beberapa keping gambar di laman sosial yang memaparkan makanan haram dengan logo halal palsu dijual di pasar raya di Sarawak, baru-baru ini.
“Hasil siasatan Jakim di pasar raya di Miri dan Kuching mendapati tiada produk makanan yang memaparkan logo halal palsu di pasaran seperti didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa gambar yang disebarkan merupakan gambar yang sengaja diedit dengan meletakkan logo halal.
Baru-baru ini, beberapa keping gambar makanan dipercayai daging khinzir dalam tin dengan logo halal dijual di sebuah pasar raya tersebar di media sosial yang mengundang keresahan pengguna dari kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, Hakimah berkata Jakim menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung penjualan, pengedaran atau penyimpanan produk tersebut agar tampil membantu sekiranya ia benar-benar berlaku. – BERNAMA