Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom |
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil
Khir Baharom menafikan dakwaan yang beliau menyalahgunakan hasil
sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara dan ia
adalah kenyataan jahat berupa fitnah serta menyimpang daripada fakta
sebenar.
Sehubungan itu, Jamil Khir menuntut Pengarah NOW (National Oversight
and Whistleblowers) Akmal Nasir dan The Malaysian Insider menarik balik
dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka
dalam tempoh 24 jam.
“Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu
melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan
maruah kredibiliti saya,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Portal berita, The Malaysian Insider hari ini melaporkan dakwaan
Akmal mengenai lawatan Jamil Khir itu dan beliau turut mendedahkan
beberapa dokumen yang merujuk kepada perbelanjaan Jamil Khir ke luar
negara untuk menghadiri program dan dibiayai Yayasan Pembangunan Ekonomi
Islam Malaysia (YaPEIM).
Beliau berkata lawatannya ke Amerika Syarikat (Amerika) pada 21
hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan
agensi di bawah seliaannya, terutama YaPEIM dengan kerjasama Kedutaan
Malaysia di Amerika.
Ini termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West
Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika serta Kanada,
kata Jamil Khir.
“Dakwaan kononnya program saya di Amerika bersifat bersuka ria
menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah besar dan cubaan untuk
menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabatan
Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata “adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang
mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan
saya.”
Jamil Khir berkata beliau sentiasa terbuka dan bersedia memberi
kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya
benar wujudnya salah laku melibatkan dirinya atau agensi di bawah
seliaannya.
“Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA