Jangan Kerana Ego, Anak Cucu Dilayan Seperti Pendatang

Gambar Hiasan
Entah ke berapa kali kita sering mendengar Pas bersedia bekerjasama dengan UMNO. Bagaimanapun sebelum ini ketika Pas belum berpecah sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah), harapan itu hanya tinggal harapan.

Kedua-dua parti dilihat terlalu sukar untuk duduk semeja waima bagi membincangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Halangan terbesar ketika itu disebabkan terdapat dalam kalangan pemimpin Pas menentang keras kerjasama tersebut demi menjaga hati sekutu kesayangan mereka, DAP dan PKR. Sebarang usaha untuk duduk semeja dengan UMNO akan dilihat satu pengkhianatan kepada kedua-dua parti berkenaan.

Dan kini kita mendengar lagi pemimpin-pemimpin kanan Pas menzahirkan kesediaan bekerjasama dengan UMNO selagi ia bertujuan ke arah kebaikan dan bertunjangkan kebajikan.

Seperti mana ditegaskan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron Din dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, langkah itu bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 2 yang bermaksud:
“Hendaklah kamu tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah saling membantu dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras dalam hukuman-Nya.”
Dr. Haron menegaskan, sebagai sebuah parti yang mendokong Islam, parti itu tidak boleh menolak apa sahaja perkara yang boleh mencapai dan memerlukan pertolongan kerana ia adalah suruhan Allah.

Biarpun beliau menegaskan, kerjasama antara kedua-dua pihak masih belum dimuktamadkan dan pihak tidak menolak kemungkinan kebersamaan itu boleh berlaku bergantung kepada keadaan dan masa yang menentukannya, namun kesediaan Pas seharusnya disambut dengan kesyukuran oleh semua orang Melayu.

Sudah cukup kita berbalah kerana politik, sudah cukup kita ‘berperang’ sesama sendiri kerana kuasa dan sudah cukup kita bercerai berai kerana termakan hasutan pihak yang tidak mahu melihat dua parti induk orang Melayu itu bersepakat.


Penyatuan dan kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu dalam perkara-perkara berkaitan ummah bukannya politik adalah satu rahmat sekali gus bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
Selama ini firman Allah itu tidak begitu dititik beratkan. Orang Melayu terus berpecah belah kerana ideologi politik. Pertembungan antara UMNO dan Pas dalam gelanggang pilihan raya membuka ruang kepada pihak tertentu memperkukuhkan kedudukan politik mereka dan melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Pas dipinggirkan apabila hendak memperjuangkan Islam manakala UMNO pula dianggap rasis kerana mahu menegakkan ketuanan Melayu. Kesudahannya, impian untuk melihat mereka bersatu demi kepentingan orang Melayu bagaikan satu mimpi indah yang tidak pernah kesampaian.

Namun kini senario sudah berubah. Sudah ada bibit-bibit kesediaan untuk melihat dua parti orang Melayu berganding bahu dalam perkara yang bukan sahaja berkaitan orang Melayu tetapi juga urusan negara secara keseluruhannya.

Dalam memastikan hasrat bagi melihat dua parti Melayu itu bersua muka berbincang menjadi kenyataan, maka jangan ada orang Melayu menjadi pengkhianat kepada bangsa sendiri apabila melihat kerjasama itu satu ancaman.

Selagi kerjasama tersebut demi kebaikan bangsa, agama dan negara maka ia tidak harus dihalang oleh sebarang pandangan jumud atau ‘kerja-kerja bodoh’ sama ada dalam Pas mahupun UMNO.

Janganlah ada tafsiran jahil kononnya kerjasama itu bertujuan memperkukuhkan kedudukan politik mana-mana parti. Ini bukanlah soal politik tetapi soal bagaimana mahu menamatkan persengketaan antara kalangan kumpulan-kumpulan Melayu.

Sekurang-kurangnya kerjasama antara dua parti itu akan memperkukuhkan kedudukan orang Melayu sebagai bangsa yang kuat, satu bangsa yang tidak boleh diperkotak-katikkan oleh sesiapa, satu bangsa yang tidak boleh diperalatkan oleh mana-mana pihak dan satu bangsa yang tidak perlu tunduk kepada kelompok lain demi secebis kuasa.

Banyak faedahnya kalau Pas dan UMNO boleh mencapai kata sepakat. Dan sudah tentulah, ini bukan sahaja demi faedah orang Melayu tetapi juga kaum-kaum lain. Perpecahan orang Melayu akibat berbeza fahaman politik sama sekali tidak menguntungkan mereka, sebaliknya ia akan menyebabkan pihak tertentu bertepuk tangan.

Orang Melayu akan lemah apabila mereka berpecah. Perjuangan untuk mempertahankan hak dan kepentingan mereka juga tergugat kerana masing-masing hanya melihat kepentingan parti bukannya ummah.

Biarlah apapun orang hendak kata termasuklah sesetengah pemimpin Melayu yang bersedia menjadi `pak turut’ kepada DAP. Apa yang penting titik pertemuan antara dua parti Melayu itu perlu diusahakan sebaik mungkin.

Kepada pemimpin-pemimpin kedua-dua parti terlibat masih ada masanya untuk memperbaiki keadaan, memulihkan keretakan supaya tidak terbelah dan paling penting memastikan orang Melayu tidak merempat di tanah air sendiri.

Ingatlah perpecahan orang Melayu tidak akan membawa apa-apa keuntungan sebaliknya boleh mengundang padah bukan sahaja kepada bangsa tersebut tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhannya.

Janganlah satu hari nanti akibat keegoan kita mahu memperjuangkan kuasa politik masing-masing, anak cucu kita dilayan bagaikan pendatang asing di bumi yang suatu ketika dimiliki orang Melayu ini.

Sumber: Utusan