JAWI Buru "Ustaz Kasanova", Didakwa Berjaya Perdaya 13 Wanita

"Ustaz Kasanova", Mohd Razis Ismail
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan sedang mengesan seorang lelaki yang melabel dirinya seorang "ustaz" gara-gara didakwa menipu 13 wanita melalui perkahwinan dan poligami tanpa kebenaran pihak mahkamah.

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dalam kenyataannya berkata, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 25 Oktober mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Razis Ismail yang juga dikenali sebagai Ustaz Kasanova selepas dia gagal hadir ke jabatan itu untuk melanjutkan jaminannya.

"Kesalahan yang dilakukan oleh suspek ialah berkahwin tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

"Kebanyakan daripada perkahwinan dan perceraiannya tidak didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia," katanya epada media di sini, hari ini.

Paimuzi menjelaskan bahawa modus operandi suspek adalah dengan memperlihatkan dirinya sebagai seorang guru agama untuk menipu mangsa.

"Dia mendakwa masih bujang dan dikenali sebagai Ustaz Arrozi Abdul Rahman dan Ibnu Ar Razi. Beliau menyasarkan pelajar wanita di institusi pengajian tinggi atau janda yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik," katanya lagi.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Jawi, Farah Wahida Zulkiflee di 011-32961821 atau bahagian penguatkuasaan Jawi di talian bebas tol 1-800-88-1771. -Kedahnews.com