Alwi (tengah) menunjukkan lokasi ketulan daging dipercayai daging babi, dicampak. |
BATU PAHAT - Jemaah di Surau Al-Falah, di sini terkejut apabila terjumpa ketulan daging dipercayai daging babi di atas lantai serta perkarangan surau berkenaan.
Setiausaha surau terbabit, Alwi Mohd berkata, kejadian itu hanya disedari ketika dia datang ke surau untuk menunaikan solat Maghrib sebelum terlihat ketulan daging berkenaan di beberapa tempat.
Katanya, kejadian pada malam kelmarin itu adalah kali keempat, tapi pada mulanya dia dan juga jemaah lain menganggap ketulan daging berkenaan dibawa haiwan ke surau berkenaan.
"Pada kejadian kali pertama dan kedua kira-kira bulan lalu, kami tak anggap apa-apa kerana sangka ia dibawa oleh kucing atau haiwan lain ke dalam surau ini.
"Namun kami mulai syak perbuatan khianat kerana berlaku berulang kali dan kami juga syak ia adalah daging babi," katanya.
Menurut Alwi lagi, kejadian sama turut berlaku di Surau Arab dan Surau India dalam tempoh sebulan ini.
"Kita harap pihak polis dapat menyiasat dan ambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan perkara ini kerana bimbang jika dibiarkan berlarutan akan menimbulkan suasana tegang dan tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.
Oleh itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Batu Pahat masa hari kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, beliau berharap semua pihak bertenang dan polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya.
"Motif kejadian juga sedang disiasat dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, menghubungi balai polis berdekatan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk mengaibkan.
Sumber: Sinar Harian