Jumpa Jacel Kiram, SAPP Gesa Izzah Diharam Masuk Sabah


KOTA KINABALU – Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Japiril Suhaimin meminta kerajaan negeri Sabah mengharamkan kemasukan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ke negeri ini.

Ia berikutan tersebarnya gambar anak Anwar Ibrahim itu bersama-sama dengan Jacel H.Karim, yang mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

“Kerajaan Sabah patut haram Nurul Izzah masuk Sabah kerana bertemu dan minta sokongan Jacel yang jadi jurucakap Sultan Kiram semasa pencerobohan Tanduo Lahad Datu,” katanya dalam akaun Facebook beliau.

Entri tersebut turut mendapat perhatian orang ramai termasuk Tj Tasatra yang menganggap tindakan Nurul Izzah bergambar dengan Jacel telah melukakan hati ramai rakyat Sabah sendiri.

“Nurul Izzah telah melukakan hati rakyat Sabah yang berdepan dengan askar Jamalul Kiram dalam serangan Tanduo. Haramkan Nurul Izzah daripada menjejakkan kakinya ke Sabah,” tegasnya.

Mohd. Norazman Injah pula berkata sekiranya benar Izzah berhubung dengan Jacel, semua wakil rakyat Sabah PKR harus keluar segera daripada parti pembangkang tersebut.

“Jika Nurul Izzah berhubung dengan puteri Kiram, semua wakil rakyat Sabah PKR harus keluar daripada sokong PKR, rakyat Sabah juga harus fikir dan jangan harap orang Sabah sokong mereka,” katanya dalam komen itu.

Gambar mengenai pertemuan eksklusif Nurul Izzah dan Jacel di Filipina baru-baru ini telah dimuat naik oleh Jacel sendiri menerusi akaun Facebook beliau pada 9 November lepas.

Nurul Izzah dalam kenyataannya turut mengakui bertemu dengan Jacel pada 9 November semasa berada di Filipina bersama-sama dengan anggota Parlimen PKR Batu, Tian Chua.

Dia mendakwa ia konon sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara itu. – BERNAMA